Ad

Saturday, 11 April 2015

Yakin mampu sekat Nwakaeme

10 April 2015
Mohd Azraai Khor Abdullah Mohd Azraai Khor

JURULATIH Kelantan, Mohd Azraai Khor Abdullah yakin anak buahnya mampu menyekat penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Super 2015 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam esok.
  
Beliau berkata, barisan pertahanan The Red Warriors (TRW) yang diketuai pemain kelahiran Australia, Jonathan McKain mampu menyekat kemaraan bekas pemain Kelantan itu.
  
"Kita tahu dia (Dickson) mempunyai kekuatan dan ia sudah nyata, kita mungkin akan bermain secara bertahan kerana kita tahu kekuatan mereka (Pahang).
  
"Mereka sudah tentu mempunyai motivasi tinggi dan kekuatan mereka adalah Dickson dan Matias Conti, saya dikhabarkan Alex (Mohd Azamuddin Md Akil) juga sudah pulih, kita perlu berhati-hati," katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu, hari ini.
  
Mohd Azraai Khor berkata, Kelantan perlu menang pada pertemuan tersebut bagi menaikkan kembali keyakinan penyokong terhadap TRW, serta semangat pemain
pasukan itu sendiri.

"Bermain di tempat sendiri, kita kena jaga maruah kita, meskipun mereka (Pahang) mantap tetapi kita perlu bermain mengikut cara sendiri dan mengikut perancangan," katanya.
  
Beliau berkata, khidmat penyerang import kelahiran Colombia, Erwin Carillo juga amat ditagih untuk mengemudi jentera serangan TRW, bersama pemain tempatan
yang lain.
  
"Dia (Carillo) ada kekuatan dan saya juga harap kesemua pemain import yang bakal diturunkan pada pertemuan tersebut dapat memberikan aksi yang terbaik," katanya.
 
Kelantan kini berada di kedudukan kelapan Liga Super dengan tujuh mata, selepas hanya mencatat dua kemenangan daripada enam perlawanan. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 11.4.2015


No comments:

Post a Comment