MOHAMAD NORZAHARUDDIN KASIMON
3 April 2015
Asal usul Kampung Sepinang Papan tanda masuk
ke Kampung Sepinang.
KAMPUNG Sepinang terletak
kira-kira sembilan kilometer dari bandar Segamat masih mengekalkan kawasan
penempatan secara warisan dan mempunyai ciri Melayu dalam seni binanya.
Ketua kampungnya, Mohd Taher
Ibrahim, 68, berkata, berdasarkan cerita orang tua, Kampung Sepinang dibuka
kira-kira 300 tahun dahulu selepas diterokai seorang lelaki keturunan
Temenggung dan kemudiannya diperintah seorang raja.
Namun, dia sendiri tidak dapat
memastikan kesahihan cerita tersebut kerana telah lama berlaku dan tidak ramai
penduduk kampung yang dapat mengingati cerita ini sepenuhnya terutama salasilah
keturunan raja tersebut.
“Kampung ini dulu penuh semak
dan ketika mula-mula diterokai, ada pokok pinang tunggal ditemui, sejak itu
kampung ini dinamakan Kampung Sepinang.
“Ada juga pendapat bahawa
kampung ini dinamakan Sepinang sempena nama buah pinang yang ditemui. Variasi
lain berdasarkan sebuah sekolah yang dibina berasaskan batang pinang dan dipanggil
‘Sekolah Batang Pinang’ ketika itu,” katanya.
Katanya, berdasarkan
penceritaan secara lisan orang-orang tua kampung tersebut, penduduk Kampung
Sepinang dahulunya sangat dihormati penduduk kampung lain.
Menurutnya, sebagai contoh,
ketika penduduk kampung ini menghadiri kenduri perkahwinan di sesebuah kampung,
terdapat balai khas disediakan yang lebih tinggi kedudukannya daripada balai
lain.
“Ke mana saja mereka pergi
ketika itu, penduduk kampung ini disegani dan dihormati, mungkin sebab ketika
itu kampung ini satu-satunya kampung yang diperintah keturunan raja.
“Tapi sampai sekarang tak
diketahui kenapa pemerintahan beraja itu lenyap, hanya tinggal kenangan.
Asal-usul kampung ini tetap menjadi legenda, begitu juga pemerintahan berajanya
yang penuh misteri,” katanya.
Menurutnya, terdapat tiga
kampung terdapat di bawah pentadbirannya selain Kampung Sepinang iaitu Kampung
Pauh dan Kampung Berangan yang kesemuanya berkeluasan kira-kira 1063.5 hektar.
Di Kampung Sepinang juga
terkenal dengan kisah seorang wanita digelar Atuk Bonda.
Menurut Mohd Taher, nama
sebenarnya ialah Wan Kundur Wan Abu Bakar dan berasal dari Kampung Belimbing,
Pahang.
Menurutnya, orang-orang tua
kampung tersebut ketika itu juga tidak mengetahui tujuan dan bagaimana Atuk
Bonda sampai ke Segamat dan seterusnya menetap di Kampung Sepinang.
“Atuk Bonda berkahwin dengan
penduduk kampung ini. Namun, ketika zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu,
suaminya ditembak komunis. Sejak itu dia menjadi janda dan membesarkan sendiri
anak-anaknya.
“Suatu hari, dia didatangi
seorang pemuda meminta tolong, tapi Atuk Bonda menolak sebab tiada siapa akan
menjaga anaknya yang masih kecil. Pemuda itu mendesak dan berjanji anaknya akan
dijaga orang," katanya.
Dia berkata, akhirnya Atuk
Bonda mengalah dan pemuda itu membawanya melalui satu kampung dengan pemandangan
indah dan tidak pernah dilaluinya.
"Apabila tiba di rumah
pemuda itu, baharu Atuk Bonda mengetahui bahawa isteri pemuda berkenaan sedang
menahan sakit untuk bersalin.
"Dari situlah Atuk Bonda
mengetahui cara-cara membidankan orang bersalin setelah diajar seorang wanita
lain yang turut berada di rumah pemuda tersebut,” katanya.
Mohd Taher berkata, selepas
selesai, Atuk Bonda dihantar pulang dan dia melihat anaknya tidur nyenyak
seperti ada orang menjaganya.
“Sejak itu, Atuk Bonda
membidankan setiap orang yang hendak bersalin di kampung ini. Dia juga
dipercayai dikurniakan kebolehan dapat merasakan bila ada orang memerlukan
bantuannya.
“Namun, segalanya hanya tinggal
sejarah dan kenangan selepas Atuk Bonda meninggal. Kisah pemuda yang meminta
pertolongan dan wanita yang mengajarkannya ilmu perbidanan itu juga masih jadi
misteri,” katanya.
Tambahnya, Kampung Sepinang
kini sudah berubah dengan memiliki kemudahan infrastruktur asas yang lengkap
seperti sekolah rendah, sekolah agama, perpustakaan desa dan balairaya untuk
kegunaan komuniti.
SINAR HARIAN ONLINE 3.4.2015
No comments:
Post a Comment