Oleh- AHMAD
BIN YAAKOB
Hari isnin minggu ketiga Penggal 1 Pesekolahan
tahun 1977,aku mula mendaftar diri di SMK Kamil, Pasir Puteh untuk
memulakan persekolahan di Tingkatan 1 Khas; iaitu Kelas Rancangan Khas bagi
pelajar yang gagal ke sekolah asrama penuh.Sekolah Menengah Kamil merupakan
bekas sekolah beraliran Inggeris dan sekolah terbesar di bandar Pasir Puteh.
Berbasikal ke sekolah baru membelah kesejukan angin pagi aku rasa agak
menyeronokkan.Ini kerana sudah dua minggu aku mengayuh basikal pada waktu
tengah hari ke Sekolah Menengah Tok Janggut yang jaraknya empat batu dari
rumah. Jarak Sekolah Menengah Kamil pula cuma tiga batu dari kampungku Kampung
Gong Chapa.
Apabila masuk mendaftar ke Tingkatan 1
Khas kelas aku cuma kenal seorang sahaja iaitu Nurazimah Abdullah budak kampung
aku yang turut terpilih ke Kelas Rancangan Khas. Tidak ramai pelajar yang
mendaftar masuk ke kelas 1Khas ketika itu. Kawan lelaki pertama aku kenal pada pagi itu ialah Mohd Roslee. Setelah bertegur sapa dan bekenalan
kami sama-sama ke tandas di tingkat 1 dan tersalah masuk tandas perempuan. Kami
sama-sama panik,nasib baik tidak ada pelajar perempuan yang masuk tandasketika
itu.
Foto- Sumbangan Puan Zanora Zakaria
Inilah Makmal lama tempat kami pelajar-pelajar pelopor Kelas Rancangan Khas pertama di Sekolah Menengah Kamil. Makmal lama yang dijadikan kelas ini menyimpan banyak kenangan pahit manis kami selama setahun belajar di sini.Bersebelahan makmal ialah kebun getah, kini tiada lagi.
No comments:
Post a Comment