Ad

Thursday 9 April 2015

Dollah mahu elak kena aib

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 April 2015
Dollah mahu elak kena aib
Dollah mahu elak kena aib Dollah (kanan) bersama Hamidin (tiga, kiri) dan Mullaly selepas sidang media, semalam.
JURULATIH kebangsaan, Dollah Salleh berkata, beliau memerlukan tempoh persiapan sekurang-kurangnya dua minggu dalam membentuk persefahaman dan memantapkan permainan skuad bimbingannya menjelang sepak mula Kelayakan Piala Dunia 2018 merangkap Kelayakan Piala Asia 2019 pada 11 Jun ini.

Menurut Dollah, beliau tidak mahu pasukannya sekali lagi bakal menerima aib sama selepas dibelasah 0-6 oleh pasukan ranking ke-96 dunia, Oman pada aksi persahabatan antarabangsa, 26 Mac lalu akibat tempoh latihan terlalu singkat.

"Inilah masalahnya, kadang-kadang orang tak faham. Bukan senang untuk tubuh satu pasukan jika hanya dua tiga hari dengan pemain. Sebab itu, saya berjumpa dengan Datuk Hamidin Mohd Amin untuk mendapatkan tempoh sekurang-kurangnya dua minggu. Ia boleh memberi ruang kepada saya untuk membuat ramuan terbaik.

"Kita akan berbincang dengan pegawai FAM untuk kita melihat apa percaturannya sama ada perlawanan Liga Super terpaksa diawalkan atau sebaliknya. Ini supaya kita dapat memanggil pemain sekurang-kurangnya dua minggu,” kata Dollah ketika ditemui selepas sidang media sempena pengumuman perlawanan persahabatan Pilihan Malaysia bertemu kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur di Stadium Shah Alam, 27 Mei ini, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pembangunan Perniagaan Spurs, Aidan Mullally; Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Pemasaran AIA Bhd, Thomas Wong.

Mengulas mengenai pertemuan dengan kelab bimbingan Mauricio Pochettino dalam Piala AIA itu, bekas jurulatih Polis Diraja Malaysia itu (PDRM) berkata, ia medan terakhir buat pemainnya dalam mempersiapkan diri menjelang kejohanan tersebut.

"Ada orang cakap, kenapa saya tak panggil pemain import untuk bertemu Tottenham kerana ia menggunakan nama Pilihan Malaysia. Tapi ini saja perlawanan saya ada untuk membolehkan pemain kebangsaan menyesuaikan diri dan membina pasukan sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia,” jelas Dollah yang akan membariskan barisan terbaik pada perlawanan itu nanti.

SUMBER-SINAR HARIAN 8 April 2015

No comments:

Post a Comment