Oleh Mohd Firdaus
Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad kendalian
Razip Ismail yang menamatkan kedudukan di tangga ketiga pada kempen kelayakan
Piala AFC B-23 kelmarin, menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan peminat
bola sepak terutamanya dengan persiapan rapi yang diharungi sejak setahun lalu
dianggap satu pembaziran.
Pasukan dibentuk atas nama
Harimau Muda B itu, sudah didedahkan dengan pelbagai perlawanan antarabangsa
termasuk dihantar beraksi dalam Liga Singapura (Liga-S) yang disifatkan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai pentas terbaik bagi meningkatkan
mutu permainan pasukan muda negara.
Bagaimanapun, bagi bekas pemain
kebangsaan dan pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh penyertaan barisan pemain
muda negara dalam Liga-S itu tidak banyak membantu menaikkan kualiti permainan
skuad negara dan hakikat itu jelas terpampang apabila anak buah Razip tewas
kepada Vietnam sebelum bergelut melayan Macau.
“Keputusan diraih pasukan
negara memang mengecewakan. Lebih-lebih lagi apabila hanya mampu menang 2-0 ke
atas Macau, berbanding Jepun dan Vietnam yang menang besar tujuh gol.
“Di situ saja menunjukkan tahap
sebenar pasukan muda negara yang saya kira belum cukup mantap. Walaupun mereka
beraksi dalam liga luar negara (Liga-S) dan beberapa aksi persahabatan,
permainan pasukan masih di takuk lama dan tidak banyak perubahan biarpun
pelaburan sudah banyak dibuat,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Menurut Serbegeth atau lebih
dikenali dengan Shebby, faktor tekanan juga membawa kesan kepada persembahan
pasukan negara yang disasarkan untuk layak ke pusingan akhir AFC B-23 di Qatar
tahun depan.
“Buat masa ini di Malaysia,
kita sering meletakkan sasaran terlalu tinggi kepada sesebuah pasukan yang saya
kira boleh mengganggu fokus dan tumpuan pemain.
“Saya faham, apabila banyak
perbelanjaan disalurkan buat pasukan, maka sasaran juga perlu berbaloi tapi
malangnya mereka gagal merealisasikan harapan itu.
“Kesudahannya, pemain akan
tertekan dan tidak mampu mempamerkan aksi terbaik ketika perlawanan sekali gus
membawa kepada kekalahan buat pasukan walaupun berdepan lawan lemah seperti
Macau,” katanya.
Sepanjang kempen kelayakan
Kumpulan I itu, skuad kebangsaan hanya menang sekali selepas menumpaskan Macau
2-0. Namun dalam dua aksi lain, Malaysia tewas 1-2 kepada Vietnam dan 0-1 di
tangan Jepun.
Berikutan dua kekalahan itu
Malaysia sekadar berpuas hati di tangga ketiga, manakala Jepun layak secara
automatik selaku juara kumpulan manakala Vietnam berpeluang merebut slot antara
lima pasukan kedua terbaik kumpulan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis,
2 April 2015 @ 9:14 AM
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/40874#sthash.tP7ohC2C.dpuf
No comments:
Post a Comment