Oleh Azlan Hafeedzam@hmetro.com.my
Kota Bharu: Penyerang Terbaik
Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2014, Mohd Norfarhan Muhammad bertekad
mengembalikan statusnya selaku penyerang berbisa negara ketika ini bagi
pertemuan menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu
ini.
Beraksi di depan penonton bekas
pasukannya musim lalu itu tidak akan mematahkan semangat pemain berusia 31
tahun itu untuk terus membuktikan kewibawaan.
Norfarhan atau lebih mesra
dikenali Ben10 berkata, walaupun prestasi Terengganu musim ini tidak menentu,
skuad Penyu tidak boleh dipandang rendah.
Katanya, skuad kendalian Abd
Rahman Ibrahim yang dibarisi pemain berpengalaman seperti Paulo Rangel, Ismail
Faruqi, Abdul Manaf Mamat dan Muhamad Ashaari Shamsuddin mampu menyekat peluang
Kelantan mengutip tiga mata penuh.
“Cikgu Rahman jurulatih
berpengalaman serta memiliki banyak strategi dan taktikal, selain bijak membaca
tahap permainan lawan.
“Jika kami ingin memenangi
perlawanan itu, Rangel mesti dirantai selain perlu elakkan Zairo Anuar atau
Ismail melakukan sepakan percuma dari luar kotak penalti,” katanya.
Selepas pulih daripada
kecederaan, Norfarhan hanya beraksi satu perlawanan ketika bertemu Kuala
Lumpur, baru-baru ini, namun setakat ini, dia masih belum menemui sentuhan
berbisanya.
Dalam usahanya mencuri tumpuan
pengendali baru Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah, Norfarhan kini giat
menjalani latihan bagi mengembalikan semula tahap kecergasannya.
Norfarhan berkata, setakat ini,
dia mengakui selesa berlatih di bawah Azraai.
Katanya, banyak pembaharuan
dibawa jurulatih berasal dari Kedah itu dan dia yakin pasukan The Red Warriors
(TRW) Kelantan mampu melonjak kembali di persada Liga Super.
“Pertemuan dengan Terengganu
itu ibarat buku dengan ruas kerana kami memiliki rekod perlawanan seimbang.
“Apapun, saya nekad untuk
menjaringkan gol andai disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi membantu
Kelantan memperbaiki kedudukan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Rabu, 1 April 2015 @ 8:29 AM
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/40627#sthash.ympTlcsS.dpuf
No comments:
Post a Comment