Oleh Mohd Firdaus
Hashimfirdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Sudah lima atau
enam tahun saya tidak tengok pasukan negara bermain.”
Itu luahan legenda bola sepak
negara Datuk Santokh Singh ketika mengulas mengenai kekalahan besar dilakar
skuad Harimau Malaya apabila diaib 6-0 oleh pasukan Oman, minggu lalu.
Mengakui kecewa dengan
keputusan diraih pasukan kendalian Dollah Salleh itu, Santokh beranggapan masa
depan bola sepak negara semakin suram dan tidak menunjukkan apa-apa isyarat
kebangkitan, walaupun silih bertukar pemain dan jurulatih.
Biarpun Malaysia mara ke pentas
final Piala AFF Disember lalu, bagi Santokh itu bukan pencapaian yang harus
dibanggakan apabila sekadar meraih tempat kedua di belakang Thailand.
“Saya tidak menonton aksi
Malaysia bertemu Oman kerana tahu apa yang akan berlaku. Bukannya tidak
menyokong pasukan negara, tapi hati saya sudah lama ‘mati’ untuk menyaksikan
mereka beraksi.
“Walaupun begitu, apabila saya
mengetahui keputusan 6-0 itu menerusi akhbar, saya bertambah sedih dan kecewa
seolah-olah bola sepak negara tidak akan ke mana-mana sampai bila-bila.
“Mereka (Persatuan Bolasepak
Malaysia, FAM) bukannya mahu mendengar nasihat saya atau pemain lama,
sebaliknya jika bersuara silap-silap kami yang akan kena balik. Baik kami diam
saja dan tengok apa mereka mahu lakukan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro,
semalam.
Santokh yang pernah membantu
skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 sebelum kerajaan membatalkan
hasrat menyertai temasya itu menegaskan, FAM perlu mencontohi Thailand yang
lebih bijak menyusun program pembangunan dan meningkatkan kualiti liga mereka.
“Hasilnya mereka berjaya muncul
juara Piala AFF dengan majoritinya pemain muda.
“Kegagalan pasukan kita
meningkat bukan kerana FAM tidak buat kerja. Silapnya mereka sering bertukar
polisi atau dasar terlalu kerap hingga mengganggu hasil sesuatu program.
“Misalnya, skuad Harimau Muda D
yang pernah dikendalikan jurulatih S Balachandran sebelum ini. Pasukan itu
berjaya mara hingga ke suku akhir Piala AFC Bawah 16 tahun dan hampir layak
secara merit ke Piala Dunia, tapi FAM melepaskan saja jurulatih itu dan
pasukannya pula diambil alih orang lain.
“Saya yakin jika Balachandran
kekal kita ada masa depan yang cerah, namun kerana dasar FAM yang kelam kabut
dan cepat bertukar pendirian, saya tidak nampak peluang pasukan kebangsaan
untuk menyerlah di masa akan datang,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Rabu, 1 April 2015 @ 8:22 AM
DISYORKAN
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/40622#sthash.6bV6U27E.dpuf
No comments:
Post a Comment