Madrid: Penyerang Real Madrid
Cristiano Ronaldo meledak hatrik paling pantas sepanjang kariernya sebelum
menambah dua lagi ketika pasukannya menang besar 9-1 ke atas pasukan kedua
tercorot Granada semalam, sekali gus ketinggalan hanya satu mata kepada pendahulu
La Liga, Barcelona.
Bintang Portugal Ronaldo
menghasilkan hatrik dalam tempoh lapan minit pada babak pertama dan menambah
dua lagi gol pada babak kedua di Bernabeu untuk membantu Real melakar
kemenangan terbesar sejak setengah abad lalu.
Lima gol Ronaldo itu yang
pertama dilakukannya dan membolehkan catatan jaringannya meningkat kepada 36
gol musim ini, lebih empat gol berbanding penyerang Barca Lionel Messi.
Selepas gagal meledak gol
sepanjang sembilan aksi sebelum ini, Gareth Bale akhirnya kembali menemui
sentuhan apabila meletakkan Real di depan pada minit ke-25.
Pemain sayap Wales itu
mengambil kesempatan kesilapan benteng pertahanan lawan dan memperdayakan
penjaga gol Granada Oier Olazabal sebelum menolak bola ke gawang.
Ronaldo menambah kelebihan Real
lima minit kemudian sebelum menghasilkan gol ketiga pada minit ke-36 dan
melengkapkan hatrik dua minit kemudian.
Karim Benzema menjadikan
kedudukan 5-0 ketika tujuh minit babak kedua bersambung sebelum Ronaldo
menambah gol pada minit ke-54 dan Benzema menjaringkan gol kedua peribadi pada
minit ke-56.
Robert Ibanez menghasilkan gol
tunggal pelawat pada minit ke-74 sebelum pertahanan Granada Diego Mainz
menjaringkan gol sendiri ketika permainan berbaki tujuh minit dan Ronaldo
melengkapkan kemenangan bergaya Real pada minit terakhir permainan.
“Kami memulakan perlawanan
dengan baik dan prestasi kami sangat luar biasa,” kata pertahanan Real Marcelo.
“Kami tidak berhenti menyerang. Kami bermain seolah-olah belum menjaringkan gol
dan itulah sebabnya mengapa kami mampu menghasilkan sembilan jaringan.”
Artikel ini disiarkan pada :
Isnin, 6 April 2015 @ 5:25 AM
RONALDO meraikan jaringan
menentang Granada.
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/41784#sthash.9tIRMeDh.dpuf
No comments:
Post a Comment