Ad

Friday 17 April 2015

Liga Perdana: DRB Hicom puas hati seri 0-0 temu PKNS

JUMAAT, 17 APRIL 2015 @ 10:59 PM
PETALING JAYA: Penolong jurulatih DRB Hicom FC, Hamizar Hamzah berpuas hati dengan kejayaan pasukan itu mencuri satu mata selepas seri 0-0 menentang PKNS FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini. Beliau menyifatkan mata berkenaan amat berharga dalam memastikan pasukan berkenaan dapat memperbaiki kedudukan mereka dalam carta Liga Perdana musim ini.

      "Alhamdulillah, kita berjaya mendapat satu mata dan perlawanan antara kedua-dua pasukan agak seimbang, cuma yang saya nampak penyudah kita agak sedikit tumpul," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu. Dalam pada itu, Hamizar optimis pasukan itu mampu meraih tiga mata penuh berdepan Pulau Pinang pada perlawanan kesembilan liga di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 26 April ini. Sementara itu, pengendali PKNS FC, E Elavarasan mengakui kekentalan pertahanan DRB Hicom FC menyukarkan peluang pemain mereka untuk meraih gol namun memuji pemainnya yang memberikan persembahan terbaik.

      Beliau mengakui ketiadaan penyerang berbisa, Patrick Ronaldinho Wleh yang digantung ketika ini memberi kesan kepada jentera hadapan mereka dalam memburu gol dalam perlawanan liga. Patrick digantung enam bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas didapati bersalah bertindak kasar terhadap pengadil pada pusingan kedua Piala FA berdepan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, 28 Februari lalu. "Kita bimbang sekiranya Patrick diganti dengan pemain import baharu, mereka gagal memberi impak kepada pasukan kita dan menyebabkan pasukan terpaksa mengeluarkan belanja," katanya. Pengurus pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid pula memaklumkan mereka masih menanti surat tunjuk sebab daripada FAM sebelum membuat rayuan terhadap penggantungan yang dikenakan ke atas Patrick. "Saya difahamkan surat tunjuk sebab itu sudah siap namun mereka hanya menunggu masa untuk menyerahkan kepada kita," katanya sambil menegaskan Patrick masih kekal dalam perancangan skuad 'The Red Ants'. - BERNAMA
 
PEMAIN DRB-Hicom, Muhd Fakhrul Aiman (dua dari kiri) melakukan rembatan dicelah-celah pemain ketika menentang PKNS FC pada perlawanan Liga Premier di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. - Foto Osman Adnan

Sumber: http://www.bharian.com.my/node/48195

No comments:

Post a Comment