Ad

Friday 17 April 2015

Pulih ranking

-Oleh Ferzalfie Fauziferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kedudukan terkini ranking dunia dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam memberi sinar buat Datuk Lee Chong Wei untuk sekurang-kurangnya menyertai Kejohanan Dunia tahun ini di Jakarta.
Berdasarkan ranking terbaru, Chong Wei dilihat berpeluang mencari gelaran sulung Kejohanan Dunia Ogos ini.
Chong Wei tergelincir ke kedudukan ke-30 dunia tetapi masih kekal sebagai pemain perseorangan nombor satu negara dan ia akan kekal hingga tarikh tutup kelayakan kejohanan pada 30 April ini.
Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Chin Chai, tidak ada masalah untuk BWF menyenaraikan Chong Wei pada Kejohanan Dunia biarpun dia kini digantung.
“Berdasarkan peraturan, Chong Wei hanya digantung daripada beraksi dalam mana-mana kejohanan dan bukannya tidak disenaraikan,” kata Chin Chai.
Jelasnya, jika bekas pemain nombor satu dunia itu tidak disenaraikan, beliau akan meminta penjelasan daripada BWF bagi membolehkan Chong Wei beraksi pada Kejohanan Dunia.
Mata ranking Chong Wei hanya akan ditolak jika tidak beraksi dalam saingan Piala Sudirman di Dongguan bulan depan dan BWF membenarkan setiap negara mempunyai dua wakil dalam setiap acara jika kedudukan ranking dunia mereka berada dalam kelompok 150.
Bagaimanapun, Chong Wei tetap perlu mengharapkan dia sekadar dikenakan hukuman gantung hanya enam bulan bermula dari tarikh penggantungan sementara sejak 11 November tahun lalu.
Dia kini hanya menunggu keputusan ahli panel BWF selepas sesi pendengaran di Amsterdam, Belanda, Sabtu lalu.
“Sekarang kita harapkan keputusan kes doping Chong Wei memihak kepadanya atau dia dikenakan hukuman munasabah untuk kembali beraksi,” kata Chin Chai.
Chong Wei tidak pernah muncul juara kejohanan itu dan hanya meraih gelaran naib juara tiga kali, 2011 (London), 2013 (Guangzhou) dan 2014 (Copenhagen).
Bagaimanapun, gelaran naib juara diraih di Copenhagen dijangka ditarik balik kerana dia didapati menggunakan bahan terlarang, dexamethasone pada kejohanan itu.
Ditanya peluang Chong Wei beraksi di Piala Sudirman bermula 10 hingga 17 Mei, Chin Chai berkata, BAM akan mendapatkan penjelasan daripada BWF terlebih dulu memandangkan tarikh tutup menghantar nama pemain 27 April ini.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/44363#sthash.UrgrCybB.dpuf

No comments:

Post a Comment