Ad

Monday 20 April 2015

Apa ini, senarai palsu – Dollah

ISNIN, 20 APRIL 2015 @ 6:03 PM 
 Oleh Wan Fakhrul Bakar wanfakhrul@bh.com.my KUALA LUMPUR: Senarai nama 35 pemain untuk panggilan skuad Harimau Malaya menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2018 merangkap Kelayakan Piala Asia 2019 yang tersebar di laman-laman sosial sejak semalam disahkan palsu. Jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh berkata, dia sendiri terkejut apabila mendapat tahu mengenai senarai berkenaan dan menyatakan bahawa senarai sebenar masih belum dikeluarkannya setakat ini.

       "Saya tak tahulah siapa punya kerja ni. Kenapa dia pula yang pandai-pandai buat senarai ini. Sedangkan saya tak keluarkan lagi sebarang senarai panggilan. "Buat masa ini, saya baru meletakkan senarai nama di papan putih dengan silih berganti pemain keluar dan masuk. Masih belum dimuktamadkan lagi senarai. "Saya boleh senaraikan minimum 50 pemain, bukannya 35 pemain. Jadi senarai yang tersebar itu senarai palsu," kata Dollah ketika dihubungi BH Online, hari ini. Dalam senarai palsu itu, antara nama yang jarang dipanggil tetapi 'tersenarai' ialah penjaga gol Harimau Muda, Farhan Abu Bakar dan pemain pertahanannya, Wan Amirzafran Nadris, kapten Selangor, Shahrom Kalam serta dua pemain Pahang, Saifulnizam Miswan dan Azidan Sarudin.

       "Jika benar saya keluarkan senarai pemain pun, saya akan beri kepada pegawai di Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlebih dahulu sebelum mereka edarkan kepada pihak media. "Tapi tadi apabila saya tunjuk senarai palsu itu kepada pegawai berkenaan, dia pun terperanjat," jelas Dollah. Untuk saingan kelayakan yang bakal berlangsung dari 11 Jun ini hingga 29 Mac tahun depan, skuad Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan A bersama UAE, Arab Saudi, Palestin dan Timor Leste. Dua perlawanan awal menyaksikan skuad Dollah bakal beraksi di laman sendiri dengan menanti kunjungan Timor Leste pada 11 Jun dan Palestin, 16 Jun ini. SENARAI palsu panggilan 35 pemain untuk latihan skuad bola sepak kebangsaan yang tersebar di laman-laman sosial sejak semalam. - Foto ihsan Facebook


Sumber : http://www.bharian.com.my/node/48748

No comments:

Post a Comment