Ad

Saturday, 4 April 2015

PDRM, Pulau Pinang rampas teraju liga

JUMAAT, 3 APRIL 2015 @ 11:40 PM
Oleh Wan Fakhrul Bakar Faizul Azlan Razak Anis Nabilla Md Wazilah Dan Asrol Awang (bhsukan@bh.com.my)
 
PEMAIN PDRM, Muslim Ahmad (dua dari kiri) dan Mohamadaou Sumaerah cuba melepasi asakan pemain Sarawak, Gerhardt Nyema Patrick (kiri) bersama Billy Osman Mehmet (dua dari kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin
SHAH ALAM: Juara Liga Perdana musim lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas seketika tangga teratas Liga Super untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh 24 jam selepas berjaya menewaskan Sarawak 1-0 pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Selepas enam perlawanan, PDRM kendalian Azman Adnan kini mengumpul 12 mata untuk memintas seketika pendahulu sebelum ini, FELDA United yang mengumpul 11 mata dengan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu berpeluang merampas semula kedudukan teratas Liga Super jika menang atau seri dengan Perak di Stadium Selayang, malam esok.

Pada aksi malam ini, gol tunggal kemenangan PDRM itu dijaringkan pendahulu senarai penjaring terbanyak Liga Super, Dramane Traore yang melepaskan rembatan ketika keadaan kelam kabut dalam kotak penalti Sarawak untuk gol kelapannya, musim ini.
 
PEMAIN T-Team , Josip Milardovic (kanan) mengasak pemain Sabah, Leopold Alfonso Otong pada aksi perlawanan di Stadium Sultan Islam Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini. - Foto Aswadi Alias
Sementara itu, Sabah turun ke tangga kedua Liga Perdana selepas tewas 4-3 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.


Dua jaringan pendahuluan Sabah menerusi Joel Joseph Chianese pada minit keempat dan ke-16, kedua-duanya berjaya disamakan T-Team menerusi Farhod Tadjiev pada minit kelapan dan ke-45 untuk kedudukan terikat 2-2 pada babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Sabah hampir memastikan tiga mata penuh dibawa pulang merentasi Laut China Selatan apabila Eamon Zayed menjaringkan gol ketiga pada minit ke-63, namun T-Team bangkit menambah dua gol pada masa kecederaan menerusi gol sendiri Alto Linus dan penyudah Sadriddin Abdullaev.
PEMAIN Pulau Pinang, Mohd Redzuan Nawi (kiri) diasak pemain JDT II, Mohd Zaquan Adha pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, malam ini. - Foto Ramdzan Masiam
Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang muncul pendahulu baharu Liga Perdana selepas bangkit pada penghujung permainan untuk menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 2-1.

Pasukan pelawat mendahului menerusi jaringan bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Radzak seawal minit kedua, namun Pulau Pinang bangkit membalas dua gol pada masa kecederaan menerusi Alberto Goncalves dan Hilton Moreira.

Kemenangan itu membolehkan Pulau Pinang mengumpul 14 mata diikuti Sabah 12 mata, Negeri Sembilan (NS) Matrix 11 mata, T-Team 11 mata dan JDT II dengan 10 mata untuk lima kedudukan teratas Liga Perdana. Di Stadium Darul Makmur, Kuantan FA meraih kemenangan sulung musim ini dengan menewaskan DRB-HICOM 2-1 menerusi dua jaringan Milan Purovic pada minit ke-39 dan 84 selepas pelawat di hadapan menerusi jaringan Ahmad Aminuddin Shaharudin seawal minit ke-12.

Keputusan perlawanan malam ini:

LIGA SUPER

PDRM...1 SARAWAK...0 PDRM (Dramane Traore, m-32)

LIGA PERDANA

T-TEAM...4 SABAH...3

T-Team (Farhod Tadjiev, m-8 & m-45, Alto Linus (gs), m-90+1, Sadriddin Abdullaev, m-90+6)

Sabah (Joel Joseph Chianese, m-4 & m-16, Eamon Zayed, m-63)

P PINANG...2 JDT II...1

P Pinang (Alberto Goncalves, m-90+3, Hilton Moreira m-90+5)

JDT II (Zaquan Adha Radzak, m-2) KUANTAN FA..2 DRB-HICOM..1 Kuantan (Milan Purovic, m-39, m-84) DRB (Ahmad Aminuddin Shaharudin, m-12)


SHAH ALAM 03 April 2015. Pemain PDRM, Mohamadou Sumareh (atas) diasak pemain Sarawak, Josepk Kalang Tie (bawah) dalam perlawanan Liga Super 2015 di Stadium Shah Alam. STR/ Mohd Asri Saifuddin Mamat

SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE JUMAAT, 3 APRIL 2015 @ 11:40 PM

No comments:

Post a Comment