Ad

Friday 3 April 2015

Dollah, Kim Swee berebut pemain


Aksi serentak kelayakan Piala Dunia/Piala Asia dengan Sukan SEA 2015 cetus kesukaran
MUHAMMAD DAYNE AZMIN  |  03 April 2015 12:36 AM

KUALA LUMPUR - Pertembungan jadual pu­singan kelayakan Piala Dunia 2018 / Piala Asia 2019 dan Sukan SEA bakal menimbulkan konflik antara dua jurulatih, Dollah Salleh dan Datuk Ong Kim Swee dalam mendapatkan pemain terbaik bersama skuad ma­sing-masing.
Bukan sesuatu yang dirancang sebaliknya semua satu kebe­tulan, skuad kendalian Kim Swee bakal memulakan cabaran di Singapura terlebih dulu dan dijangka me­lakukan sepak mula pada 29 Mei.
Sekiranya berjaya melepasi peringkat kumpulan, saingan separuh akhir pula berlangsung pada 13 Jun, manakala final pada 15 Jun.
Bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2018, Harimau Malaya akan beraksi dalam dua perlawanan awal peringkat kumpulan yang dijadual pada 11 Jun dan 16 Jun.
Keadaan tersebut meletakkan kedua-dua jurulatih itu berada dalam dilema untuk membuat penyenaraian pemain.
Antara pemain-pemain yang berpotensi menjadi perebutan Dollah dan Kim Swee ialah Gary Steven Robbat yang dicanang-canang bakal diberi peranan ketua pasukan skuad Sukan SEA 2015.
Turut menjadi tumpuan Mohd. Farhan Roslan, Mohd. Nazmi Faiz Mansor, Nazirul Naim Che Hashim dan Akram Mahinan.
Dollah berkata, buat masa ini beliau belum terfikir soal penyenaraian pemain kerana masih mahu melihat sejauh mana ­prestasi mereka dalam saingan Liga Malaysia sepanjang bulan ini.
Begitupun, beliau tidak menafikan perbincangan perlu diadakan dengan Kim Swee agar tidak berlaku pertindihan pemain semasa proses pendaftaran.
“Masih terlalu awal untuk saya perkatakan mengenai hal ini kerana kelayakan Piala Dunia ialah dua bulan dari sekarang dan masih ada banyak masa untuk melakukan senarai pemain.
“Bagaimanapun, saya sedar memang akan ada pertembungan dalam soal ini kerana kedua-dua pertandingan berlangsung dalam masa serentak dan memang saya kena jumpa Kim Swee bagi me­ngadakan perbincangan.
“Sebelum ini (perlawanan persahabatan dengan Oman), saya tidak berdepan sebarang masalah kerana pemain yang saya mahukan (Akram dan Che Rashid Che Ismail) tidak diperlukan oleh pasukan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sekiranya ada pemain yang dimahukan Dollah turut diperlukan Kim Swee, pengendali berusia 52 tahun itu tidak teragak-agak untuk berkeras kerana baginya pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 merangkap Piala Asia 2019 dilihat lebih penting berbanding Sukan SEA.
“Andai kata ada pemain yang saya rasa penting buat pasukan tetapi turut dimahukan oleh skuad Sukan SEA, saya kena bertegas kerana pusingan kelayakan Piala Dunia ialah kejohanan cukup penting bagi pasukan negara.
“Bukan maksud saya mahu merendahkan mutu Sukan SEA tetapi kepentingan negara di pu­singan kelayakan Piala Dunia saya nampak lebih besar kerana menjadi penanda aras sebenar bola sepak kita di pentas antarabangsa, ” katanya.
Berdasarkan format terbaharu ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang menggabungkan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 dalam satu pertandingan, 40 pasukan akan bersaing pada pusingan ke­dua kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 dan dipecahkan kepada lapan kumpulan.
Juara setiap kumpulan dan empat pasukan terbaik di tangga kedua layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2018, sementara bagi slot Piala Asia 2019, juara serta naib juara kumpulan layak automatik ke pusingan ak­hir Piala Asia 2019.
Bagi pasukan di tangga ketiga dan keempat serta satu pasukan terbaik dari tangga terakhir kumpulan, mereka masih berpeluang menempah baki tujuh slot yang tinggal daripada 24 pasukan dengan bersaing pada satu lagi pusingan kelayakan.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dollah-kim-swee-berebut-pemain-1.76516#sthash.1n5yogDr.dpuf

No comments:

Post a Comment