Oleh Azlan Hafeedzsukan@hmetro.com.my
Kota Bharu: Penjaga gol
kebangsaan Mohd Khairul Fahmi Che Mat, 26, menggesa barisan pertahanan Kelantan
supaya bersedia menghadapi jentera serangan Terengganu ketika kedua-dua pasukan
bertemu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.
Pemain yang lebih mesra dengan
panggilan Apek itu menganggap Terengganu bukan calang-calang pasukan kerana
skuad kendalian Abd Rahman Ibrahim itu mampu bangkit pada saat akhir walaupun
ketinggalan.
Berdasarkan rekod pertemuan
lalu, kedua-dua pasukan sentiasa bersaing sengit sekali gus mengakibatkan
perlawanan bertambah ‘panas’.
Namun, kelebihan bermain di
gelanggang sendiri selain dibantu sokongan peminat pasti dimanfaatkan
sepenuhnya skuad Penyu dalam usaha memburu kemenangan bagi memperbaiki
kedudukan dalam liga.
Apek berkata, memandangkan
Terengganu disenaraikan sebagai antara pasukan terhebat musim ini, dia bersama
barisan pemain Kelantan akan tetap memberi komitmen tinggi bagi memastikan
gawang mereka tidak dibolosi.
Katanya, tempoh rehat dua
minggu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjalani latihan di bawah kendalian
jurulatih baru Mohd Azraai Khor Abdullah.
“Saya sedar, Terengganu
memiliki jentera serangan yang berbisa dan licik namun itu bukan alasan untuk
kami menyerah kalah.
“Saya nekad mempertahankan
pintu gol Kelantan daripada dibolosi dan berjanji berjuang bermati-matian dalam
memburu tiga mata,” katanya.
Sementara itu, pertahanan
Kelantan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, 25, berkata, dia tidak kekok beraksi
di mana-mana posisi pertahanan namun mengakui lebih gemar bermain di sebelah
kiri.
Katanya, dia bersama pemain
pertahanan lain seperti Jonathan McKain, Nor Hafiz Zamani Misbah dan Mohd Fitri
Omar akan berusaha mengurangkan kesilapan bagi mengelak Terengganu memperoleh
sepakan percuma kerana tuan rumah memiliki dua pakar sepakan percuma.
“Siapa saja yang diturunkan,
sama ada saya atau Mohd Noor Hazrul, Mohd Zairul Fitree Ishak dan Mohd Farisham
Ismail tidak penting. Yang penting, setiap pemain mesti konsisten serta fokus
untuk mengawal benteng daripada dibolosi.
“Jika kami berjaya mengikuti
segala arahan jurulatih, pasti peluang menang pada malam itu cerah,” katanya.
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/40879#sthash.NEriI8oB.dpuf
No comments:
Post a Comment