MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bertindak awal sebelum menjadi mangsa ‘rundingan belakang’ apabila meletakkan klausa pelepasan ke atas semua pemain skuad Red Giants musim ini.
Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, purata tanda harga yang perlu dibayar mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmat pemain Selangor adalah antara RM3 juta hingga RM6 juta.
Katanya, antara pemain paling bernilai sudah tentunya tonggak pertahanan kanan skuad Harimau Malaya, Syahmi Safari dengan klausa pelepasan RM6 juta.
“Selepas FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) memperkenalkan kontrak baharu pada 2017, FAS sudah menggunakan templat itu dengan setiap pemain diletakkan klausa pelepasan.
“Raja Muda (Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah) mahu setiap pemain dilindungi persatuan dan sebab itu semua urusan mengenai kontrak pemain sudah diselesaikan lebih awal pada November lalu.
“Ia bukan saja dapat melindungi pemain, malah dapat menjaga kepentingan dan hak pasukan yang sudah berbelanja besar terhadap seseorang pemain,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.
Jelasnya, isu perebutan pemain muda negara, Akhyar Rashid antara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu diambil iktibar oleh semua pasukan terutamanya dalam memperkenalkan klausa pelepasan dalam kontrak pemain.
“Isu KFA yang saya dengar, mereka masih menggunakan templat lama dalam kontrak pemain. Jadi saya harap, pasukan lain juga harus memperbaharui kontrak mengikut garis panduan yang diletakkan oleh FAM supaya isu seperti Akhyar dapat dielakkan,” katanya.
Akhyar, 19, yang berpindah ke JDT tanpa restu KFA, kini bernilai RM12 juta selepas menandatangani kontrak selama empat tahun bersama skuad Harimau Selatan.
Dalam perkembangan lain, Dr Johan turut mengesahkan skuad kendalian B Sathianathan akan ke Thailand dari 13 hingga 17 Januari ini bagi mengharungi tiga aksi persahabatan menentang kelab negara itu sebagai persiapan terakhir menjelang Liga Super bulan depan.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 4:10 PM
No comments:
Post a Comment