SUKAN»Bola
Rabu, 15 Mei 2019 | 12:14am
PEMAIN JDT, Mohd Akhyar Rashid (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kedua ketika bertemu Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
JDT hampakan Tok Gajah
Oleh Rizar Mohd Noor
bhsukan.com.my
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super selepas menewaskan Pahang 2-0 pada di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Turun beraksi dengan semangat kemenangan 1-0 ke atas Kashima Antlers dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) baru-baru ini, skuad kendalian Benjamin Mora nyata memberi tekanan kepada Pahang sebaik perlawanan bermula.
JDT yang diperkuatkan kesebelasan utama tampak menguasai perlawanan apabila mengasak ke kubu skuad Tok Gajah dan menghadirkan percubaan berbahaya pada minit ke-12 selepas bola sepakan lintang Gonzalo Cabrera disambar Safawi Rasid yang melakukan rembatan kilas namun bola terus ke dakapan penjaga gol, Helmi Eliza Elias.
Nasib tidak menyebelahi tuan rumah apabila terlepas membuka tirai jaringan pada minit ke-32 selepas bola umpanan Safawi kepada Cabrera yang berada dalam kedudukan selesa di dalam kotak penalti tidak berhasil apabila sepakannya meliar ketika Helmi Eliza sudah pun tertewas.
Pada minit akhir babak pertama gandingan Safawi dan Cabrera yang kerap mengucar kacirkan pertahanan pelawat hampir mencipta jaringan tetapi tandukan pemain Argentina itu berjaya dihalang Helmi Eliza yang berada di posisi tepat untuk menangkap bola dengan kemas.
Pada babak kedua, giliran pelawat mula mengasak ke kubu tuan rumah selepas Ze Eduardo memiliki peluang terbaik pada minit ke-52 apabila cuba melakukan helah hampir memerangkap penjaga gol, Farizal Marlias sebelum ia diselamatkan.
Pergerakan Diogo Luis Santo dalam perlawanan itu bagaikan dirantai benteng pertahanan lawan yang melakukan apa juga cara untuk menyekat kelicikan pemain import JDT itu yang sering menjadi mangsa terjahan keras pemain pelawat.
JDT memperoleh gol yang dinanti-nantikan pada minit ke-69 menerusi serangan balas yang dimulakan kapten pasukan Hariss Harun bersama pemain gantian Akhyar Rashid.
Bergerak di posisi sayap kanan, Akhyar kemudian menolak semula kepada Hariss yang pantas melakukan rembatan bagi menewaskan Helmi Eliza.
Dan ketika aksi babak kedua hampir berakhir, Ahkyar memastikan kemenangan buat tuan rumah selepas mudah menanduk masuk menewaskan Helmi Eliza yang hanya tergamam melihat bola menerjah gawangnya.
Kedudukan 2-0 yang memihak JDT menyaksikan juara liga lima musim berturut-turut kini mengumpul 33 mata dengan mereka kini memiliki perbezaan lapan mata dengan pencabar terdekat, Pahang.
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 15 Mei 2019 | 12:14am
No comments:
Post a Comment