ABU HASSAN DIN AL-HAFIZ (tengah)
bergambar dengan ahli jawatankuasa surau selepas menyampaikan kuliah di Surau
An-Nur Fasa 3 Bandar Seremban Selatan di Seremban malam tadi. - UTUSAN
ONLINE/FB SURAU AN-NUR
Nazarudin Shahari
01 Mei 2019 1:43 PM
SEREMBAN 1 Mei - 'Selepas malam
ini tiada lagi soalan' adalah ungkapan terakhir yang menjadi kenangan dalam
kalangan 150 jemaah Surau An-Nur Fasa 3 Bandar Seremban Selatan dekat sini
malam tadi.
Mereka sebelum itu mendengar
kuliah bertajuk 'Di Ambang Ramadan' oleh almarhum pendakwah terkenal, Datuk
Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, 72, yang datang ke surau berkenaan.
Pada akhir kuliah itu,
Allahyarham telah meminta para jemaah surau itu mengajukan soalan kepadanya dan
melafazkan ungkapan itu selepas tiada lagi pertanyaan dan menutup kuliahnya
dengan bacaan doa.
Setiausaha surau itu, Allaudin
Shah Maidin Syed berkata, Allahyarham tiba di surau berkenaan kira-kira pukul 8
malam dan menyampaikan kuliah sehingga pukul 9.30 malam.
Katanya, Allahyarham hanya
mengadu mengenai kesesakan jalan raya yang terpaksa ditempuhnya selama dua jam
dari Kuala Lumpur ke sini sehingga menyebabkan beliau lewat tiba.
"Kami semua mendengar
kuliahnya yang sememangnya sentiasa menarik minat kepada sesiapa pun,"
katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya, tiada yang aneh
mengenai kuliah Allahyarham atau semasa para jemaah menemuinya dalam jamuan
makan yang dihidangkan oleh surau selepas majlis tersebut.
"Allahyarham memberitahu
beliau sudah lama tidak makan nasi dan hanya makan kuih.
"Kami bersalaman dengan
beliau sebelum Allahyarham menaiki kereta untuk pulang," ujarnya.
Allaudin Shah memberitahu, para
jemaah berasa terkejut dan sedih apabila mendengar berita pagi ini mengenai
kematian Abu Hassan. - UTUSAN ONLINE 01 Mei 2019 1:43 PM
No comments:
Post a Comment