Ad

Friday, 3 May 2019

Kedah yakin mara ke pentas final

Muhd. Ardie Putra Suhaimi
02 Mei 2019 9:16 AM
 JONATHAN Bauman (tengah) menjaringkan dua gol ketika Kedah mencatat
JONATHAN Bauman (tengah) menjaringkan dua gol ketika Kedah mencatat kemenangan selesa 3-1 menewaskan PKNS FC pada aksi suku akhir pertama Piala FA kelmarin.

KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar optimis pasukannya berpotensi untuk melangkah ke final Piala FA musim ini selepas merekodkan kemenangan selesa 3-1 ke atas kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, skuad Helang Merah memanfaatkan sepenuhnya kelebihan selepas pertahanan pasukan tuan rumah, Tamirlan Kozubaev dilayangkan kad merah untuk mendahului 3-0 di separuh masa yang pertama.


Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu berusaha untuk bangkit pada babak kedua dan berjaya meraih gol saguhati hasil ledakan Gabriel Guerra dan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Baddrol berkata, kemenangan tersebut mence­rahkan peluang mereka untuk mara ke pusingan separuh akhir tetapi ada masa yang sama mengingatkan supaya tidak memandang rendah dengan keupayaan skuad The Red Ants memandangkan saingan masih berbaki 90 minit.

“Kami sangat gembira apabila dapat mencatatkan kemenangan positif di gelanggang lawan untuk membawa bekalan selesa pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Darul Aman minggu depan.

“Peluang untuk mara ke pusi­ngan seterusnya agak cerah tetapi ia tidak bermakna kami boleh bermain sambil lewa kerana PKNS FC telah buktikan pada babak kedua bahawa mereka tetap boleh bersaing meskipun bermain dengan 10 pemain.

“Apa yang pasti, kami meletakkan sasaran untuk mara ke final dan saya percaya ia boleh dicapai kerana pasukan musim ini dilihat sudah selesa dan yakin di bawah kendalian jurulatih baharu (Aidil Sharin Sahak),” katanya.

Baddrol sebelum ini pernah membantu skuad Helang Merah menjulang trofi Piala FA seba­nyak tiga kali pada edisi 2007, 2008 dan 2017.
SUMBER-KOSMO ONLINE 02 Mei 2019 9:16 AM

No comments:

Post a Comment