MyMetroArena
Rizar Mohd
Noor
sukanteam@nstp.com.my
TIADA apa yang
mampu diungkap pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa selain
daripada ucapan terima kasih buat setiap pemain yang mengotakan janji untuk
membenam Kedah 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin, malam tadi.
Malah Figueroa
teruja dengan kualiti permainan barisan skuad Harimau Selatan sambil
menyifatkan ia permainan terbaik pasukan itu selepas menguasai keseluruhan
perlawanan tanpa memberi ruang kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak
melakukan percubaan berbahaya.
Beliau
berkata, pertembungan menentang skuad Lang Merah jelas begitu sukar tetapi
pemain JDT bagaikan mengetepikan kesukaran itu apabila kerap bergerak secara
berpasukan dan menguasai posisi tengah menyebabkan pemain lawan seolah-olah
hilang arah.
“Kita tahu
Kedah adalah pasukan bagus dan mereka dibarisi pemain hebat namun taktikal yang
kami bentuk untuk berdepan aksi yang sukar berjaya diatasi dan pemain melakukan
tugas dengan baik malah segala usaha membuahkan hasil apabila meraih tiga mata.
“Tidak
dinafikan kami memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi sering
dikecewakan sama ada tersasar atau diselamatkan penjaga gol. Tapi mereka terus
berusaha dan hasilnya kemenangan menjelma dan ia ibarat pulangan yang lumayan.
“Faktor kepenatan
juga menjejaskan sedikit rentak permainan tatkala kami baru pulang dari Korea
selepas mengharungi perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan hanya ada tempoh
tiga hari untuk buat persiapan namun semangat kental pemain mengatasi
segalanya,” katanya.
Mengulas
persembahan Diogo Luis Santo yang tampak kerap memberi sumbangan dibarisan
serangan, Figueroa menjelaskan peranan pemain itu tidak semestinya menjaringkan
gol sebaliknya menjadi [pengacau’ di posisi berkenaan dan membuka ruang buat
rakan sepasukan melakukan percubaan berbahaya.
Malah katanya,
S Kunanlan yang pada awal musim hanya sekadar memanaskan bangku simpanan sudah
mula menunjukkan kredibiliti sebenar apabila mempamerkan aksi terbaik sepanjang
saingan liga dan ACL.
“Saya juga
bangga dengan komitmen Mauricio (Nascimento), walaupun mengalami kecederaan
ketika menentang Gyeongnam FC namun dalam tempoh tiga hari dia
bersungguh-sungguh untuk pulih dan tetap mahu diturunkan tanpa menghiraukan
keacederaan yang dialami.
“Saya akan
beri rehat selama lima hari kepada pemain dan kemudian mereka akan kembali
menjalani latihan bagi meneruskan kesinambungan memburu kemenangan dalam setiap
perlawanan kerana kita sudah berada di landasan dan tidak boleh tergelincir,”
kata Figueroa.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 8:16 PM
No comments:
Post a Comment