Ad

Saturday 11 May 2019

Lapan bulan tidak beraksi, Alex hargai peluang diberi KFA

 PEMAIN Sayap Kedah, Azammuddin Mohd Akil berterima kasih kepada
PEMAIN Sayap Kedah, Azammuddin Mohd Akil berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kerana memberi peluang kepadanya untuk beraksi bersama pasukan Lang Merah seklai gus menyelamatkan kariernya daripada terus terkubur.- FARIZ RUSADIO
Muhamad Aimy Ahmad

11 Mei 2019 2:24 PM

ALOR SETAR 11 Mei - Bekas penyerang kebangsaan, Azamuddin Akil mengakui dia mungkin terpaksa melupakan karier sebagai pemain bola sepak profesional sekiranya tidak ‘diikat’ oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), tahun lalu.

Pemain kelahiran Lipis, Pahang itu berkata, tempoh lapan bulan tidak turun dalam perlawanan kompetitif memberi cabaran kepadanya untuk kembali beraksi cemerlang walaupun masih dalam fasa pemulihan daripada kecederaan.


Diturunkan pertama kali pada empat minit terakhir bagi menggantikan Mohd. Farhan Roslan dalam saingan suku akhir Piala FA, malam tadi, Azamuddin yang juga dikenali sebagai Alex nyata gembira dan bersyukur dengan peluang itu.

“Semua orang tahu saya mengharungi lima bulan tanpa gaji sejak bersama Kedah kerana kecederaan buku lali yang dialami, saya berkorban untuk kembali dalam kerjaya saya.

“Justeru, terima kasih tidak terhingga kepada pengurusan KFA, barisan jurulatih, fisioterapi dan rakan sepasukan yang tidak putus-putus memberi semangat dan kata-kata perangsang untuk saya kembali ke dalam padang.

“Kemungkinan kerjaya saya sudah tamat sekiranya KFA tidak menerima saya, saya berhempas pulas untuk kembali kepada tahap kecergasan seperti sebelum ini termasuk menjalani dua kali pembedahan,” katanya selepas aksi bertemu PKNS FC di sini, semalam.

Mendedahkan dia kini sudah 90 peratus pulih, Azamuddin yang mudah disapa Alex berkata, dia akan cuba meningkatkan momentum pada setiap perlawanan selepas ini bagi memberikan aksi terbaik kepada Lang Merah sebagai membalas jasa pasukan itu.

Malah, peluang beraksi di hadapan penyokong Kedah di Stadium Darul Aman dalam perlawanan itu juga bagaikan menyerap aura baharu kepadanya walaupun bermain untuk tempoh yang singkat.

“Terima kasih juga kepada penyokong yang sentiasa memberi sokongan moral kerana semua tahu saya datang ke sini untuk bermain bola sepak dan saya bersedia untuk beraksi lebih lama dalam perlawanan selepas ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak turut gembira dengan keazaman dan kerja keras yang ditunjukkan Azamuddin untuk kembali merebut tempat dalam pasukan.

“Bukan senang untuk dia kembali selepas tidak beraksi selama beberapa bulan, semangat inilah yang saya mahu pemain-pemain lain terutama pemain muda contohi,” katanya.

Selain bersama Selangor pada musim lalu, Azamuddin turut pernah menyarung jersi skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini serta membantu pasukan negeri kelahirannya, Pahang menjulang trofi kejuaraan dalam Liga Malaysia. SUMBER- UTUSAN ONLINE 11 Mei 2019 2:24 PM

No comments:

Post a Comment