Ad

Monday, 20 May 2019

Ketiadaan Nwakaeme jejas rentak Pahang- Dollah

 PEMAIN Pahang, Saddil Ramdani berjaya melepasi halangan dua pemain
PEMAIN Pahang, Saddil Ramdani berjaya melepasi halangan dua pemain Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam tadi. - AHMAD ZAKKI JILAN
20 Mei 2019 1:58 PM

KUANTAN, 20 Mei - Skuad Pahang terlalu bergantung kepada penyerang import, Dickson Nwakaeme sehingga ketiadaannya menjejaskan peluang untuk mencipta kemenangan, akui jurulatihnya Dollah Salleh.

Perkara itu juga menurut Dollah adalah penyebab mengapa Tok Gajah sekadar seri 0-0 semasa bertemu Perak pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.


“Perkara ini perlu dielakkan kerana tidak mencerminkan Pahang sebagai pasukan yang terdiri daripada pemain profesional. Kita sering mengingatkan mereka, tetapi pemain masih tetap mengharapkan Nwakaeme untuk mencipta jaringan.

“Mereka perlu sedar kita bukan bermain seorang atau secara individu tetapi turun dengan kesebelasan utama di atas padang...kita melakukan pelbagai cara untuk mengatasinya termasuk meletakkan Mohamadou Sumareh di posisi penyerang,” katanya selepas perlawanan.

Dollah bagaimanapun mengakui perubahan posisi Sumareh dalam perancangan pasukan itu kini mula menampakkan hasil positif meskipun belum sepenuhnya.

“Sumareh juga nampak sudah semakin selesa bermain di posisi penyerang cuma kita belum mendapat gandingan serasi untuknya. Ia berbeza apabila Sumareh berganding dengan Nwakaeme kerana persembahan mereka nampak lebih mantap,” katanya.

Sementara itu, pengendali Perak Mehmed Durakovic mengakui persembahan The Boss Gaurus pada perlawanan itu tidak begitu baik kerana beberapa pemain baharu mereka belum cergas sepenuhnya untuk berdepan Pahang.

“Para pemain kami beraksi dalam kelas berbeza dan struktur permainan kami adalah baik. Walaupun seri, ia masih baik memandangkan kami mendapat satu mata di tempat lawan,” katanya. –BERNAMA
SUMBER UTUSAN ONLINE 20 Mei 2019 1:58 PM

No comments:

Post a Comment