Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI dan
TENGKU ASYRAF TENGKU SALLEHUDDIN
SEBAHAGIAN pemain Harimau
Malaya giat menjalani latihan menjelang Dollah pertemuan persahabatan menentang
Hong Kong di Stadium Shah Alam esok.
JURULATIH Harimau Malaya,
Dollah Salleh berkata, beliau sudah memiliki bayangan untuk senarai 23 pemain
bagi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 sebelum sepak mula
menentang Hong Kong dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam esok.
Semalam, Dollah bersama 31
pelatih menjalani sesi latihan di Stadium Shah Alam dan apa yang pasti, bekas
pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dalam fasa terakhir untuk
menentukan senarai rasmi nanti.
Apa pun, Dollah tetap memuji
kesungguhan 31 pelatih yang mempamerkan prestasi agak konsisten, namun beliau
meramalkan pemain bintang yang memiliki nama besar tidak akan menyertai
skuadnya untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.
Begitupun, beliau enggan
mendedahkan nama pemain tersebut bagi mengelakkan suasana tidak harmoni
berlaku dalam sesi latihan, sekali gus memudaratkan pasukan bimbingannya.
“Hari ini (semalam) merupakan
hari terakhir untuk menentukan lapan pemain yang akan diketepikan. Saya sudah
ada senarai beberapa pemain yang akan dipilih tetapi belum muktamad. Apa yang
pasti, esok (hari ini) saya akan umumkan.
“Saya masih ada dua pemain yang
membuatkan saya ragu-ragu sama ada mahu ketepikan mereka atau tidak. Kita dah
senaraikan tetapi kedua-dua pemain ini masih dalam pemerhatian saya lagi. Apa
sekali pun, esok (hari ini) kami akan berikan senarai pemain.
“Saya tidak mahu menghampakan
pemain-pemain ini, bimbang apabila disiarkan nanti akan menyinggung perasaan.
Saya tidak mahu pemain tahu. Nanti jika pemain terasa diri dia akan tersingkir,
dia tidak bersungguh-sungguh dalam latihan. Sebab itu saya tidak umumkan.
“Pemain yang baru dipanggil
ketika bermain menentang Tottenham Hotspur tempoh hari, ramai yang dikekalkan
kerana menunjukkan prestasi yang baik. Bagi saya, sukar untuk menentukan tetapi
ada kemungkinan beberapa pemain yang mempunyai nama besar akan digugurkan,”
katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stadium Shah Alam semalam.
Dalam perkembangan lain, Dollah
menegaskan beliau lebih berminat untuk fokus kepada aksi kelayakan Piala Dunia
2018 dan Piala Asia 2019 berbanding memikirkan kenaikan ranking pasukan
kebangsaan semalam.
Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa (FIFA) telah mengeluarkan kedudukan terbaharu yang mana skuad
Harimau Malaya menaiki empat anak tangga, sekali gus menduduki ranking ke-162.
“Kita tak main pun ranking
naik. Apa-apa pun kita bagi yang terbaik menentang Hong Kong untuk persediaan
sebelum bertemu Timor Leste nanti. Ranking itu bagi saya, perlawanan dengan
kemenangan, kita boleh tutup cerita pasal ranking ini.
“Kita sibuk pasal ranking, jadi
persediaan saya nanti akan sedikit terganggu. Apa-apa pun saya kena fokus
kepada membina kemantapan pasukan dan lepas itu kita nak lawan siapa pun tak
kisah.
“Ini kita sibuk pasal ranking
dan cari pasukan mudah-mudah untuk kejar ranking, nanti akan memberi kesusahan
kepada pasukan kita juga.
“Itu yang saya khuatirkan.
Jadi, saya lebih tumpukan kepada pasukan dan terapkan apa yang saya pelajari
di Jepun untuk memberi peningkatan kepada Harimau Malaya,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0605&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3c8YSpfjj
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment