05 Jun 2015 1:22 AM
KUALA SELANGOR 4 Jun - Datuk
Seri Abdul Hadi Awang ‘mengetuai’ barisan golongan ulama menumbangkan kumpulan
profesional dalam pemilihan Pas yang berlangsung di sini hari ini.
Dalam keputusan pemilihan yang
diumumkan secara berperingkat-peringkat kira-kira pukul 10 malam, Abdul Hadi
mengekalkan jawatan Presiden dengan memperoleh 928 undi bagi menewaskan
pencabarnya, Ahmad Awang yang mendapat hanya 233 undi.
Ini merupakan kali pertama
Abdul Hadi yang menduduki jawatan itu sejak 2002 dicabar.
Bagi jawatan Timbalan Presiden
pula, Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menepati ramalan
apabila mengalahkan penyandangnya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu apabila
memperoleh 881 undi.
Mat Sabu pula sekadar mendapat
279 undi.
Kemenangan Tuan Ibrahim
disifatkan isyarat perwakilan yang mahukan ulama kembali menduduki kerusi
nombor dua parti itu yang disandang oleh Mat Sabu sejak tahun 2011.
Kerusi Naib Presiden turut
menyaksikan penguasaan golongan ulama apabila dua penyandang jawatan itu Salahuddin
Ayub dan Datuk Husam Musa tewas. Turut tewas Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz
Omar.
Ketiga-tiga kerusi Naib
Presiden dimenangi oleh Idris Ahmad yang memperoleh 896 undi, Datuk Mohd. Amar
Nik Abdullah (710 undi) dan Datuk Iskandar Abdul Samad (672 undi)
Gelombang penguasaan ulama
sememangnya sudah dijangka apabila kelmarin calon-calon proulama di Dewan
Pemuda Pusat dan Dewan Muslimat Pas Pusat mencatatkan kemenangan.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik
Abduh Nik Abdul Aziz menewaskan Suhaizan Kaiat bagi jawatan Ketua Pemuda
manakala Nuridah Salleh menguasai semula jawatan Ketua Dewan Muslimat selepas
menewaskan penyandangnya, Siti Zailah Mohd. Yusoff.
Golongan proulama juga
menguasai jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
Turut tersingkir daripada kerusi
itu ialah Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa, Hanipa Maidin, Dr. Hatta Ramli, Khalid
Samad dan Dr. Dzulkefly Ahmad.
Kemenangan proulama dijangka
memperkukuhkan dasar perjuangan Islam Pas dan membuka ruang kepada parti itu
untuk lebih tegas mempertahankan prinsip khususnya dalam berhadapan dengan
politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Sokongan padu kepada golongan
proulama juga dianggap tindak balas ahli-ahli Pas terhadap kebiadapan DAP yang
bertindak memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi tetapi masih terus mahu
bekerjasama dengan Pas.
Sebanyak 1,162 daripada 1,189
perwakilan mengundi dalam pemilihan yang dianggap kali pertama menyaksikan
pertembungan terbuka antara golongan proulama dan profesional.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/politik/proulama-kuasai-pemilihan-1.99302#sthash.TrhbBAq8.dpuf
No comments:
Post a Comment