Ad

Monday, 9 May 2016

Fokus STPM 2016-Khalifah Harun al-Rasyid.

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Khalifah Harun al-Rasyid lahir di Rayy (Iran) pada tahun 763/149 H dan meninggal dunia pada tahun 809 di Thus, Khurasan.Baginda merupakan seorang yang mempunyai sifat-sifat seperti gagah, berani, menyukai hal-hal agama, bijak berpolitik dan cinta akan ilmu pengetahuan.Baginda telah dilantik sebagai putera mahkota pada tahun 782/166 H dan menjadi khalifah Abbasiyah kelima pada tahun 786-809/170-193 H.Pemerintahan baginda dianggap sebagai zaman keemasan Islam kerana Baghdad pada ketika itu menjadi pusat perdagangan dan pusat ilmu serta peradaban Islam yang terulung.[1]

Sumbangan Khalifah Harun al-Rasyid
a) Dasar pemerintahan  dan pentadbiran
b) Hubungan diplomatik
c) Memajukan  bidang pendidikan  dan intelektual  seperti membina Baitul Hikmah,  menjadikan Baghdad  sebagai  pusat perkembangan  ilmu, menggalakkan  kegiatan  penulisan dan penterjemahan.
d) Memperkukuhkan  angkatan tentera
e) Memajukan bidang ekonomi khasnya perdagangan.[2]

SUMBANGAN KHALIFAH HARUN al-RASYID
a) Dasar pemerintahan  dan pentadbiran
Harun al-Rasyid  telah melantik waziryangbijak  daripada keluarga  Barmaki  dalam pemerintahan  beliau. Salah seorang daripada  keluarga Barmaki,  iaitu Yahya  bin Khalid dilantik sebagai menterinya.Yahya telah memberikan  khidmat yang cemerlang kepada  kerajaan Harun al-Rasyid. Anak-anak  beliau iaitu  Jaafar, Al-Fadhl,  Muhammad,  dan Musa juga dilibatkan dalam  urusan pentadbiran  negara. Namun,  prestasi mereka yang cemerlang telah menimbulkan perasaan dengki pegawai-pegawai  yang lain terhadap mereka.Ekoran daripada itu, fltnah dilemparkan  kepada keluarga Barmaki  sebagai golongan  yang lebih condong  kepada fahaman  Syiah dan membelakangkan  ahli Sunnah.

Mereka dikatakan  membina  istana yang sama  taraf dengan  istana-istana khalifah Mereka juga dituduh  menggunakan  wang negara dan sering juga membekukan wang negara.Lantaran itu, khalifah Harun al-Rasyid bertindak  keras menghapuskan  keluargaBarmaki dari  kerajaannya.Pada tahun 803 Masihi/187  Hijrah, Khalifah Harun  bertindak memberkas tokoh tokoh Barmaki  termasuk  Yahya bin Khalid, Jaafar,  dan Fadhl bin Yahya.  Jaafar telah dihukum  bunuh sementara Fadhl dipenjarakan seumur hidup.  Dengan  itu lenyaplah  peranan  keluarga Barmaki  dalam kerajaan Abbasiyah.[3]

Selain  menghapuskan  keluarga Barmaki, Khalifah Harun telah dapat membanteras segala  kekacauan  dan pemberontakan di dalam  negaranya  dengan berhikmah tanpa  pertumpahan  darah.Salah  satu tindakan  yang beliau  lakukan  untuk mengekalkan  kestabilan negara adalah dengan menyusun semula pasukan  tenteranya  agar menjadi  sebuah  pasukan tentera  yang berdisiplin dan teratur. Beliau amat mengambil berat terhadap kredibiliti tentera-tenteranya  dan memberi perlindungan serta keselamatan untuk
kesejahteraan  rakyatnya.[4]
b) Hubungan diplomatik
Dalam bidang politik pula, baginda telah mengadakan hubungan yang baik dengan kuasa-kuasa asing. Pada ketika itu, selain kerajaanAbbasiyah di Baghdad, terdapat tiga buah kerajaan besar lain, iaitu:
(a) kerajaan Byzantine di Constantinople.
(b) kerajaan Umayyah di Andalus.
(c) Perancis di Eropah.[5]
Hubungan kerajaan  Harun  al-Rasyid  dengan kerajaan  perancis adalah baik dan beliau tidak menghadapi banyak  masalah berurusan dengan  negara perancis.Malah, Khalifah Harun  dan rajanya,  Raja charlemenge dikatakan  sering bertukar bingkisan dan baginda pernah membantu  Khalifah Harun menghadapi  Kerajaan Byzantine.

Demikian juga dengan  kerajaan Umaiyah kerana mereka mengamalkan dasar berbaik-baik dengan  kerajaan Harun al Rasyid.Namun,  ancaman yang sebenar datang  dari negara Byzantine.  Hal ini tercetus akibat Maharaja  Nivephoras I yang menaiki takhta selepas Maharani Irena telah membatalkan  perjanjian taat setia dengan  kerajaan Harun ar-Rasyid.Sebelum ini, raja Byzantine, Ratu Irene meneruskan  bayaran ufti kepada kerajaan Abbasiyah  tetapi  apabila Rom diperintah oleh Nivephoras  I, beliau  telah membatalkan ufti tersebut. Hal ini menyebabkan Khalifah Harun menghantar tentera  menyerang Byzantine.Justeru,  tercetuslah peperangan  antara angkatan tentera  yang dipimpin  oleh Harun al-Rasyid  sendiri  dengan  kekuatan Rom yang menyaksikan kejayaan berpihak kepada tentera Islam.Kemenangan tersebut memaksa Maharaja  Rom berdamai  dan sanggup untuk berada  di bawah naungan  kerajaan Abbasiyah.[6]

Selain  itu, pembukaan  wilayah-wilayah baharu  diteruskan oleh Khalifah  Harundi benua Asia Kecil. Di Laut Mediterranean, pulau Rhodes, dan Cyprus  telah digempur dan kemudiannya  ditawan  pada  805 dan 807 Masihi.Selain itu, Kerajaan Abbasiyah  turut menjalinkan  hubungan dengan  Maharaja china. Bagi menjaga hubungan baik, mereka saling bertukar  bingkisan.[7]
c) Memajukan  bidang pendidikan  dan intelektual 
Khalifah Harun al-Rasyid memainkan peranan yang besar dalam mengembangkan ilmu pengetahuan. Perkembangan dan kegiatan intelektualisme ini berlaku dalam beberapa peringkat, iaitu pembukuan, penyusunan semula ilmu pengetahuan dan penterjemahan.

Baitul Hikmah (Perpustakaan Agung) telah diasaskan sebagai institusi kebudayaan dan pusat keilmuan yang kemudiannya berkembang dan mencapai zaman kegemilangannya semasa pemerintahan Khalifah al-Makmun. Melalui penubuhan Baitul Hikmah sebagai institusi penterjemahan, kerja-kerja penterjemahan menjadi lebih sistematik. Banyak karya-karya asing dalam bahasa Sanskrit, Suriani dan khususnya ilmu falsafah dan sains Yunani
telah diterjemahkan bagi dimanfaatkan oleh para cendekiawan Islam.[8]

Bagi menyebarkan ilmu pengetahuan kepada rakyat, baginda telah mendirikan pusat pengajian seperti sekolah, maktab dan universiti. Keadaan ini juga menyebabkan kegiatan penyelidikan dapat dipertingkatkan. Contohnya, sumbangan al-Khwarizmi dalam bidang matematik dan astronomi. Sesungguhnya, hasil kajian sarjana-sarjana Islam ini kemudiannya telah tersebar ke Eropah sekali gus memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan
keilmuan hingga melahirkan zaman Renaisans di Eropah.[9]

Kegiatan  pembukuan
Pada peringkat  awal,  ilmu pengetahuan  dikumpulkan dalam bentuklisan, hafalan,  dan ingatan individu.llmu  itu akan hilang jika individu tersebut  meninggal dunia.  Untuk mengelakkan perkara itu berlaku, penulisan  dan catatan  dilakukan pada kulit binatang dan kayu. Penyebaran  ilmu pengetahuan  turut berlaku secara lisan. Khalifah Harun al-Rasyid telah melakukan  satu pembaharuan,  iaitu menggalakkan  ilmu pengetahuan  dibukukan untuk kegunaan generasi  pada masa itu dan akan datang.
Pada zaman pemerintahan  Khalifah Harun  al-Rasyid,munculnya ulama yang membukukan  ilmu pengetahuan berkenaan  dengan  sejarah  (tarikh),  kesusasteraan,  lughah, hadis,  fiqah, tafsir, dan lain-lain. Antara ulama yang  terkemuka ialah Imam Malik (menyusun  buku al-Muwatta'), Ibn Ishaq (menyusun  buku  al-Sirah),  dan Abu Hanifah (menyusun  buku Fiqah). Melalui proses pembukuan  ini, ilmu pengetahuan dapat berkembang  luas dalam pemerintahan Bani Abbasiyah.[10]

Penyusunan ilmu pengetahuan  Islam
Perkembangan dan kegiatan  penyusunan semula  ilmu pengetahuan Islam  yang berhubung dengan hukum-hakam telah bermula  sejak pemerintahan  Khalifah Abu
Jaafar al-Mansur  754 - 775 M. (1236 -158 H.).Apabila Khalifah  Harun  al-Rasyid memerintah  negara dan umat Islam  786 -  809 M. (170 -  193 H.), beliau menumpukan  perhatian  yang lebih terhadap perkembangan ilmu pengetahuan  Islam. Untuk tujuan  itu, penyusunan ilmu tersebut  sangat diperlukan  supaya  tidak terkeluar daripada konsep  al-Quran  dan Hadis. Penumpuan  dibuat  kepada ilmu tafsir,  hadis, faraid, usuluddin,  syariah, tauhid,  dan fiqah.
Kegiatan  terjemahan
Bagi memperkayakan  dan memperbanyakkan  sumber  bacaan dan khazanah ilmu pengetahuan,  Khalifah Harun  al-Rasyidmenggalakkan  pakar bahasa menterjemahkan buku-buku asing seperti dari China,  India, Yunani,  dan Parsi. Penumpuan diberi kepada menterjemahkan  buku-buku  berkenaan ilmu perubatan, falsafah,  kesenian  dan menterjemahkan bukubuku agama dalam bahasa Arab kepada  bahasa asing untuk menyebarkan ilmu tersebut  di luar tanah  Arab. Contohnya  Jurjis bin Bakhitislu  menterjemahkan  buku Pancatanra,  Mahabhrata dan Sindhanta.

Untuk melicinkan kegiatan penterjemahan, Khalifah  Harun al-Rasyid telah melantik Yuhama bin Musaiwaih  sebagai Setiausaha  Institut  Terjemahan  dan golongan  penterjemah dikenali sebagai intelektualisme  Islam.Prof. Dr. Ahmad  Shalaby  dalam  Sejarah  Kebudayaan  Islam menyatakan  bagi menyebarkan  ilmu pengetahuan  berkenaan agama Islam, Khalifah Harun al-Rasyid mendirikan institusi pengajian  seperti masjid, maktab, dan sekolah.  Ini menjadikan Kota Baghdad  dikenali  sebagai gedung ilmu pengetahuan  dan
dikunjungi  oleh umat Islam dari  seluruh dunia.[11]
d)Memajukan bidang ekonomi
Dalam bidang ekonomi, Khalifah Harun al-Rasyid telah menjadikan kota Baghdad sebagai pusat perdagangan Timur dan Barat yang terbesar dan tersibuk di dunia. Banyak aktivitiperdagangan dijalankan di situ dan ini menarik kedatangan ramai pedagang asing untuk berdagang di kota tersebut. Contohnya - pedagang dari India membawa kain dan rempah-ratus, pedagang dari China pula membawa teh dan sutera serta pelbagai barangan dagangan lain seperti dari Mesir, Turki, Afrika dan Syria.Selain kegiatan perdagangan, pertanian juga diutamakan. Untuk itu, baginda membuka banyak tanah-tanah pertanian yang baharu serta memberikan benih tanaman kepada para petani.[12]



[1]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,56.
[2]Institusi Khalifah”, dalamModul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),18.
[3]Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2,90.
[4] Ibid.
[5]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,57.
[6]Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2,93.
[7]Ibid.
[8]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,56.
[9]Ibid.
[10]Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2,102.
[11]ibid
[12]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,57.

No comments:

Post a Comment