Ad

Saturday, 14 May 2016

Hati-hati dengan PKNS – Safiq

FADHILUL IZMEL ISHAK  |  14 Mei 2016 12:27 AM
 Safiq RAHIM (dua dari kiri) dan Shahrul Azhar Ture bersama-sama
SAFIQ RAHIM (dua dari kiri) dan Shahrul Azhar Ture bersama-sama memegang Piala FA sambil diperhatikan oleh jurulatih JDT, Mario Gomez (kiri) dan jurulatih PKNS, E. Elavarasan dalam sidang akhbar perlawanan akhir Piala FA di Shah Alam semalam. UTUSAN/Nasirruddin Yazid
SHAH ALAM 13 Mei - Rekod pencapaian dan jumlah trofi belum cukup untuk memastikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menambah kejayaan mereka jika gagal fokus terhadap permainan apabila bertemu PKNS FC dalam perlawanan akhir Piala FA esok.
Kapten JDT, Mohd. Safiq Rahim berkata apatah lagi PKNS telah berkali-kali membuktikan dalam pertandingan ini bahawa mereka merupakan pasukan yang kuat selepas mencipta kejutan dalam laluan mereka ke perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.
“Bagi saya semua pemain lawan berbahaya sebab mereka mampu membuat kejutan. Itu sudah pun terbukti apabila mereka berjaya menewaskan pasukan dari Liga Super tidak kira sama ada di tempat lawan atau di laman sendiri. Apa yang penting mereka konsisten.
“Pemain tempatan cemerlang, dibantu import yang bagus, jadi bagi saya semua bahagian PKNS berbahaya. Memang orang menjangkakan kami akan memenangi perlawanan ini tetapi kalau kami meletakkan diri dalam keadaan tertekan maka akan menjejaskan mutu permainan pasukan. Seperti jurulatih cakap, apa yang penting adalah karekter pemain dan meng­atasi tekanan,” katanya.
Sementara itu, kapten PKNS, Shahrul Azhar Ture berkata ini merupakan peluang terbaik pasukannya untuk mencipta sejarah mereka sendiri dengan muncul sebagai kelab pertama memenangi Piala FA.
“Moral pasukan berada dalam keadaan baik. Motivasi pemain untuk menghadapi final ini juga bagus. Ini semua adalah kerana kami mahu melakar sejarah untuk pasukan. Kami cuba mencipta kejutan dan harap kali ini dapat melakukannya,” katanya.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hati-hati-dengan-pkns-8211-safiq-1.325635#sthash.21IjYK68.dpuf


No comments:

Post a Comment