Ad

Saturday, 28 May 2016

Malaysia cari kemenangan moral di Myanmar

FADHILUL IZMEL ISHAK  |  28 Mei 2016 12:02 AM
ONG KIM SWEE memberi penerangan kepada Harimau Malaysia dalam
ONG KIM SWEE memberi penerangan kepada Harimau Malaysia dalam sesi latihan di Stadium Thuwunna YTC, Yangon semalam menjelang pertemuan menentang Myanmar, malam ini. FAM
KUALA LUMPUR 27 Mei – Pengendali Harimau Selatan, Datuk Ong Kim Swee mahu menggunakan aksi persahabatan menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, malam esok bagi mencari keserasian menjelang playoff kelayakan Piala Asia, minggu depan.
Pertemuan menentang ­Myanmar dianggap penting sebagai persiapan menghadapi Timor Leste di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 2 dan 6 Jun.
Malaysia akan berdepan Myanmar tanpa kapten, Safiq Rahim yang cedera otot paha kiri dalam final Piala FA menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam pada 14 Mei.
Ketiadaan bintang tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memaksa Kim Swee me­ngubah taktikal pasukan di saat akhir untuk mencari pengganti Safiq.
Baddrol Bakhtiar, Mohd. Ami­rulhadi Zainal, Abdul Latiff Suhaimi atau Mohd. Amirul Hisyam Awang Kechik menjadi calon utama untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Safiq.
“Tidak dinafikan Safiq memainkan peranan penting dalam skuad kebangsaan selama ini dan apabila dia mengalami kecede­raan sudah tentu ia mendatangkan sedikit kekurangan tetapi pemain yang sedia ada saya ya­kin mereka mampu mengisi slot Safiq.
“Terpulang kepada pemain yang dipilih esok untuk membuktikan sesuatu.
“Saya ada Baddrol, Amirulhadi, Latiff dan Amirul Hisyam jadi ada beberapa pemain yang dilihat boleh mengambil alih tempat yang ditinggalkan Safiq,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sebelum perlawanan di Myanmar hari ini.
Berdasarkan pertemuan ter­akhir di antara kedua-dua pasukan itu menyaksikan mereka mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika beraksi dalam perlawanan Kumpulan B Piala AFF 2014 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 23 November dua tahun lalu.
Mengulas mengenai pertemuan esok, Kim Swee berkata, dia mahu menjadikan perlawanan tersebut sebagai platform untuk mencari ramuan terbaik bagi menghadapi Timor Leste, selain daripada mencari kemenangan bagi memperbaiki kedudukan ranking.
“Perlawanan esok penting bagi kita untuk menentukan kombinasi tertentu kerana pemain JDT baru sampai semalam.
“Selebihnya sudah bersama selama lima hari. Jadi, esok adalah peluang untuk melihat secara keseluruhan dan memilih pemain bagi menghadapi Timor Leste.
“Pertemuan ini juga pen­ting bukan sahaja mahu mencari kombinasi malah keputusan yang bakal diperoleh.
“Sudah pasti saya akan menggunakan pemain terbaik yang saya ada dan tiada sebab untuk saya mengambil ringan terhadap perlawanan ini. Ini perlawanan yang penting untuk kami,” katanya lagi.
Mahu atau tidak, Kim Swee perlu melakar kemenangan ke atas Myanmar biarpun lawan tersebut mempunyai kedudukan lebih baik selepas berada di tangga ke-167 dunia.
Malah turut mendapat sentuhan daripada pengendali sementara, Gerd Zeise dari Jerman menggantikan Radojko Avramovic pada Oktober tahun lalu kerana itu sahaja cara untuk mendapat suntikan moral bagi menghadapi Timor Leste.
Malaysia tidak pernah melayakkan diri dalam kejohanan Piala Asia secara merit dan kejayaan menewaskan Timor Leste akan meletakkan mereka di landasan baik untuk memahat sejarah.
Pasukan negara memulakan latihan di Yangon petang ini hanya beberapa jam selepas tiba dari Kuala Lumpur.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-cari-kemenangan-moral-di-myanmar-1.335418#sthash.UuIgJfWL.dpuf

No comments:

Post a Comment