Ad

Tuesday, 10 May 2016

Selangor tak rela berputih mata



Selangor tak rela berputih mata
Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI
PELUANG Selangor untuk melangkah ke pusingan kedua saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016 kini terbuka luas memandangkan mereka hanya memerlukan satu mata sahaja lagi menje­lang aksi terakhir Kumpulan E menentang Tampines Rovers di Stadium Nasional, Singapura malam ini.

Ketika ini, skuad yang terke­nal dengan jolokan Gergasi Merah itu sudah mengumpul lapan mata, satu mata meninggalkan Tampines yang menghuni tangga ketiga kumpulan, manakala pendahulu, Ceres La Salle telah mengesahkan tempat ke pusi­ngan seterusnya.

Pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan bagaimanapun tidak mahu mengharapkan ke­putusan seri semata-mata selain menegaskan skuad bimbingannya itu sedia memberikan tentangan sengit ke atas naib juara Liga Singapura musim lepas itu.

Menurutnya, Selangor akan melakukan yang terbaik pada perlawanan tersebut meman­dangkan beliau sedar bukan tugas mudah untuk mencatat keputusan seri menentang pasukan seper­ti Tampines yang dibimbing V. Sundramoorthy itu.

“Sudah pasti kami akan berikan aksi 100 peratus pada perlawanan itu nanti. Saya akui, Tampines memiliki kelebihan pada perlawanan tersebut kera­na beraksi di laman sendiri, namun kami akan lakukan yang terbaik untuk layak ke pusingan seterusnya.

“Saya akan mempersiapkan pasukan dengan sebaik mungkin serta terapkan taktikal yang sesuai. Anda semua tahu, bukan mudah untuk beraksi selama 90 minit dan mengharapkan keputusan seri.

“Jadi, ia langsung tidak berada dalam fikiran kami,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Dalam pada itu, bekas jurulatih Pahang tersebut juga menggesa para pemain Selangor agar melupakan kekalahan kepada Tampines pada pertemuan terdahulu bagi memastikan fokus mereka tidak terganggu pada aksi penting berkenaan.

“Sudah pasti ia sangat me­ngecewakan apabila tewas (0-1) di laman sendiri. Meskipun kami mencipta banyak peluang pada perlawanan tersebut, namun kami tetap tewas. Inilah bola sepak.

“Tampines merupakan sebuah pasukan yang bagus dan menunjukkan banyak peningkatan sejak kebelakangan ini.

“Namun, kami juga sentiasa melakukan persiapan menjelang perlawanan-perlawanan pen­ting. Pemain-pemain kami juga tahu peranan masing-masing,” ujarnya.




SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz48FJ3oLw8 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment