OLEH-AHMAD YAAKOB
Kesesatan agama dalam kalangan
masyarakat jahiliah mempunyai hubungan rapat dengan ketiadaan petunjuk dan
pedoman daripada kitab suci dan rasul pada waktu itu sehingga mereka tunduk
kepada kuasa berhala dan menganut agama berhala (wathani).
Di samping agama berhala, terdapat juga
agama-agama lain seperti agama Majusi, Nasrani dan Yahudi yang telah
diselewengkan,tetapi bilangan penganutnya amatlah kecil.
Pengaruh asing menjadi faktor
pendorong penyebaran pelbagai agama di Semenanjung Tanah Arab kerana
hubungannya dengan dunia luar melalui perdagangan, hubungan diplomatik dan
kegiatan-kegiatan agama. Dua
kuasa besar, iaitu Parsi dan Byzantine berlumba-lumba untuk menyebarkan agama masing-masing.
Parsi menyebarkan agama Majusi sementara Byzantine menyebarkan agama Nasrani.
Walau bagaimanapun, sebahagian besar
kaum Badwi di kawasan tengah Semenanjung Tanah Arab masih menyembah berhala.
Terdapat lima golongan beragama dalam kalangan masyarakat
Arab, iaitu:
(a) menyembah berhalal wathani.
(b) menyembah api/Majusi.
(c) Nasrani/Kristian.
(d) Yahudi.
(e) Hanif/Samawi.
Agama menyembah berhala
merupakan agama yang dominan dalam kalangan masyarakat Arab.Orang yang mula-mula
memperkenalkan agama menyembah berhala ialah Umar bin Luai. Berhala tersebut
dibawa dari Syam lalu diletakkan di sekeliling Kaabah dan disembah. Berhala-berhala
yang disembah diperbuat daripada batu, kayu dan logam sama ada berbentuk asli
atau replika.Pusat agama berhala terletak di kota Makkah. Pada waktu itu di
sekeliling Kaabah terdapat kira-kira 360 buah berhala.Berhala-berhala yang
terkenal di Makkah ialah al-Uzza, al-Latta dan al-Manat.
Agama Majusi berasal dari Parsi.Mereka tidak
mempunyai kitab dan tidak mengakui nabi yang diutus oleh Allah SWT.Penganut
agama Majusi mempercayai dua tuhan, iaitu tuhan yang baik dan tuhan Yang jahat.Mereka
juga percaya kepada dua konsep api, iaitu api sebagai penerang dan api sebagai
pemusnah. Agama ini terbahagi kepada tiga mazhab yang besar, iaitu Kayumarthiyah,
Zarwaniyah dan Zaradusshitiyah.
Agama Yahudi ialah agama yang dibawa
oleh Nabi Musa a.s. yang diutus kepadanya kitab Taurat.penganut agama Yahudi,
iaitu Bani Israel telah mengubah isi kandungan kitab Taurat dan Allah SWT telah
melaknat mereka.
Agama Nasrani (Kristian) dibawa oleh
Nabi Isa a.s. yang diturunkan kepadanya kitab suci Injil.Kaumnya juga telah mengubah
isi kandungan kitab ini.Agama Nasrani dikembangkan ke utara Semenanjung Tanah
Arab menerusi penduduk Ghassan dan Hirah, di sebelah selatan pula menerusi
penduduk Habsyah pada abad ke-6 M.
Segelintir orang Arab menganut agama Hanif
yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s.. Mereka digelar Hunafa (Muslim) dan mentauhidkan
Allah SWT.
Kepercayaan animisme
Bentuk kepercayaan masyarakat
jahiliah terbahagi kepada dua, iaitu kepercayaan beragama dan kepercayaan
animisme.Sebahagian masyarakat jahiliah yang tidak beragama mengamalkan
kepercayaan animisme.Antara amalan animisme masyarakat jahiliah ialah memuja
roh, penunggu atau kuasa ghaib, menyembah objek-objek seperti batu atau
pokok-pokok yang besar, api dan sebagainya.
Masyarakat jahiliah juga memuja
matahari, bulan dan bintang kerana menganggap cakerawala mempunyai kuasa dalam
kehidupan mereka. Mereka percaya bahawa matahari membolehkan tumbuh-tumbuhan hidup,
manakala bulan dan bintang pula menjadi petunjuk dalam perjalanan pada waktu
malam.
Golongan masyarakat jahiliah
yang menyembah Tuhan Padang Pasir pula dikenali sebagai ahl al-Saf.Amalan yang
dilakukan oleh golongan ini ialah berjalan-jalan di padang pasir pada waktu
malam sambil menyanyi, bergendang dan membawa unggun api.
Selain itu, terdapat juga masyarakat
jahiliah yang mengamalkan ajaran sihir dengan menyembah jin dan dewa-dewa.Manakala
ada pula segolongan masyarakat jahiliah yang
menyembah malaikat lelaki dan
perempuan kerana dianggap sebagai perantara.Masyarakat jahiliah juga mempunyai kepercayaan
tradisi yang berunsur tahayul seperti menilik nasib,sangka baik dan sangka
buruk dengan isyarat-isyarat tertentu, mempercayai kuasa azimat tangkal dan
ahli nujum.Kedatangan Islam telah mengubah corak kehidupan masyarakat jahiliah
bukan sahaja dari segi agama tetapi juga dari segi ketamadunan fizikal dan
mental.
No comments:
Post a Comment