Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
PARA pemain negara pada sesi pemanas badan sebelum aksi persahabatan antarabangsa menentang Myanmar di Stadium Thuwunna semalam.
KETUA jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan, prestasi skuad kebangsaan masih berada pada landasan sebenar meskipun terikat tanpa jaringan ketika menentang Myanmar dalam aksi persahabatan di Yangon malam tadi.
Bagaimanapun, Kim Swee tidak menolak bahawa pasukan bimbingannya kerap melakukan kesilapan yang memperlihatkan pasukan lawan tampak lebih bertenaga berbanding persembahan anak-anak buahnya.
Menurut pengendali kelahiran Melaka itu, beliau optimis prestasi skuad kebangsaan masih berada pada tahap yang baik jika dibandingkan dengan aksi pemanas badan sebelum ini menentang Macau yang berkesudahan seri tanpa jaringan di Melaka pada 28 Mac lalu.
Namun, bekas jurulatih Harimau Muda A itu tetap mengakui bahawa skuad Harimau Malaysia perlu memperbaiki kelemahan menjelang aksi pertama timbal balik kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Timor Leste di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada 2 Jun depan.
“Pada perlawanan malam ini (malam tadi) kita bermain agak baik tetapi saya percaya, kita mampu bermain dengan lebih baik. Banyak hantaran yang silap dilakukan menyebabkan kita diasak dengan serangan balas Myanmar.
“Ia satu perlawanan agak sukar dan saya fikir ia mencapai matlamat buat kedua-dua pasukan. Selepas aksi terakhir menentang Macau dan hari ini (semalam) pemain-pemain bermain dengan pasukan lebih kuat.
“Seperti saya katakan sebelum ini, Myanmar memiliki ramai pemain muda dan mereka banyak mencipta masalah buat kami tetapi saya percaya, pasukan kami akan bertambah bagus selepas ini. Saya berharap ia akan berlaku sebelum kami akan menentang Timor Leste (pada aksi kelayakan Piala Asia 2019).
“Pertama, kena tahu setiap perlawanan kita inginkan kemenangan tetapi apabila beraksi di tempat lawan dan pada masa sama, saya perlu memikirkan tahap kecergasan pemain hanya tinggal beberapa hari. Apa yang ditunjukkan oleh para pemain saya percaya, harus (kena) bertambah baik pada 2 Jun nanti (menentang Timor Leste),” ujar Kim Swee pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Dalam perkembangan sama, Kim Swee tidak menganggap benteng pertahanan skuad negara kerap melakukan kesilapan sebagaimana beliau menyifatkan hantaran-hantaran lemah menjadi antara salah satu faktor Harimau Malaysia gagal menembusi gawang Myanmar.
“Pertahanan tidak banyak melakukan kesilapan dan seperti saya katakan, kesilapan hantaran (bola) yang kita lakukan menyebabkan Myanmar dilihat sebagai pasukan yang kuat. “Kesilapan kita sendiri memberi ruang kepada Myanmar ke depan dengan lebih kerap tetapi saya percaya, kita akan bangkit untuk aksi menentang Timor Leste,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0529&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4A0Fdf7Eb Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment