Ad

Friday, 13 May 2016

JDT, PKNS FC janji pertarungan terbaik

Oleh Aziman Rosdi & Firdaus
Shah Alam : Finalis Piala FA musim 2016, pasukan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dan PKNS FC berjanji akan membariskan skuad terbaik pada malam kemuncak final Piala itu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam, malam esok.

Menurut pengendali Johor DT, Mario Gomez, kehadiran juara Piala AFC itu di pentas final amat dinanti-nantikan seluruh penyokong Harimau Selatan selepas kali terakhir mereka melangkah ke final pada 2013 namun tewas kepada Kelantan dengan 1-0.

"Semua pemain dalam prestasi terbaik dan mereka bersedia untuk diturunkan pada aksi itu esok.

"Kami akan memperagakan permainan menghiburkan sekali gus menjuarai gelaran," katanya pada sidang media pra-perlawanan di Hotel Concorde, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, pengendali Red Ants E Elavarasan berkata, skuad kendaliannya sudah bersedia menghadapi ancaman pasukan lawan yang diakui mempunyai pemain-pemain berkualiti.

"Siapa tidak kenal Johor DT, mereka sebuah pasukan hebat di liga kita.

"Namun pemain-pemain saya bersedia untuk melakukan kejutan seperti mana yang kami lakukan dalam laluan ke final dengan menewaskan beberapa pasukan di Liga Super," katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2016 @ 4:04 PM
 

Gomez (dua kiri) bersama Elavarasan (dua kanan) bersama kapten JDT Safiq Rahim (kiri) dan kapten PKNS FC, Shahrul Azhar Ture (kanan) pada sidang media rasmi. FOTO STR/MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT

No comments:

Post a Comment