Ad

Thursday, 26 May 2016

Malam gemilang Johor DT

 
AZAMUDDIN (kiri) tampil cemerlang ketika membantu Johor DT menewaskan Kaya FC dari Filipina 7-2 pada pusingan kalah mati kempen Piala AFC 2016 di Larkin malam tadi.

PASUKAN Johor Darul Takzim (Johor DT) membuktikan status mereka selaku juara bertahan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC) 2016 apabila membelasah wakil Filipina, Kaya FC 7-2 pada pusingan kalah mati di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Ia malam gemilang buat skuad kendalian Mario Gomez itu yang ternyata sukar disekat untuk membolosi gawang pasukan lawan sepanjang perlawanan tersebut.

Kemenangan tersebut sekali gus mengesahkan tempat skuad Harimau Selatan ke pusingan suku akhir kejohanan berprestij di Asia itu.

Pesta gol Johor DT bermula seawal minit ke-15 menerusi jaringan Lucero dan selepas itu mereka terus garang membaham gawang lawan yang menyaksikan juara Piala Asia 2015 itu menambah tiga lagi gol menerusi Juan Pereyra Diaz (m-23) serta Azamuddin Akil (m-33, m-40), sekali gus membolehkan mereka selesa mendahului 4-0 pada separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, Kaya FC berjaya mencuri tumpuan apabila memperoleh gol pembukaan pada minit ke-53 menerusi jaringan Porteria namun ia tidak menghalang Johor DT untuk menambah jaringan menerusi Lucero (m-54).

Pemain gantian, Mahalli Jasuli menjadikan kedudukan 6-1 menerusi jaringan pada minit ke-68 sebelum Lucero melengkapkan jaringan hatrik (m-69) untuk gol ketujuh pasukannya.

Pada minit-minit terakhir perlawanan, Johor DT mula memperlahankan permainan dan ia dipergunakan sepenuhnya oleh Kaya FC untuk menjaringkan gol kedua menerusi Antonio Ugarte pada minit ke-89.

Bagi Kaya FC, ia merupakan pengalaman berguna buat mereka kerana ini adalah penampilan pertama mereka pada Piala AFC dan kejayaan melangkah ke peringkat kalah mati sudah dianggap satu kejayaan.

Johor DT yang turun tanpa kapten, Safiq Rahim pada perlawanan tersebut gara-gara kecederaan, satu-satunya wakil Malaysia yang masih meneruskan cabaran pada Piala AFC selepas Selangor tersingkir pada saingan peringkat kumpulan.

Pusingan suku akhir dijadualkan berlangsung pada September depan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz49m6mWlUo Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment