Ad

Thursday, 26 May 2016

Kim Swee terpaksa ubah taktik

27 Mei 2016 12:15 AM 
KUALA LUMPUR 26 Mei – Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee terpaksa me­ngubah percaturan dalam aksi playoff Piala Asia selepas tonggak utama, Safiq Rahim belum pulih daripada kecederaan otot.

Kali terakhir kapten Harimau Malaysia itu beraksi adalah ketika membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menumpaskan PKNS FC 2-1 dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah Alam, 14 Mei lepas.

Bekas pemain tengah Sela­ngor itu juga terpaksa diketepikan daripada dua perlawanan iaitu Liga Super menentang Pahang, selain tidak dapat membantu Harimau Selatan ketika menumpaskan Kaya FC 7-2 pada pusingan kalah mati Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), semalam.

Selepas menggugurkan dua pemain, Matthew Davies dan R. Gopinathan ekoran kecederaan pada awal minggu ini, Kim Swee kini dilanda satu lagi masalah apabila terpaksa melupakan ­khidmat Safiq menjelang aksi persahabatan Kelas A menentang Myanmar di Yangon Sabtu ini.

“Pegawai perubatan kami mengesahkan dia (Safiq) masih lagi cedera dan hanya akan kembali cergas sepenuhnya dalam tempoh 10 hari.

“Justeru, saya telah membuat keputusan yang dia tidak akan mengikuti pasukan terbang ke Yangon, Myanmar esok.

“Saya anggap peluangnya untuk diturunkan pada saingan playoff menentang Timor Leste di Johor Bahru masih lagi 50-50.

“Sekiranya tidak pulih, mungkin kami terpaksa beraksi tanpa kelibatnya namun semua keputusan akan diputuskan minggu depan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, di sini hari ini.

Skuad kebangsaan dijadual menentang Timor Leste dalam playoff kelayakan Piala Asia 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 2 dan 6 Jun ini.

Mengulas mengenai siapa yang bakal dipilih untuk menggantikan Safiq, Kim Swee berkata, ada pemain lain yang berupaya menggalas tanggungjawab tersebut.

“Safiq memang penting, namun, saya percaya pemain lain seperti Baddrol (Bakhtiar), Amirul (Hadi Zainal) dan Abdul Latiff (Suhaimi) mampu mengisi kekosongannya,” ujarnya.

UM online 27.5.2016

No comments:

Post a Comment