Firdaus Hashim -firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ayam tambatan Pulau Pinang S Kumaahran (gambar) bersedia menggalas tanggungjawab selaku penyerang utama skuad Harimau Malaysia dalam aksi play-off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Timor Leste di Larkin pada 2 dan 6 Jun ini.
Kumaahran yang akan menginjak usia 20 tahun pada 3 Julai ini nyata masih mentah jika hendak dibandingkan dengan penyerang tempatan yang lebih ternama seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha mahupun Indra Putra Mahayuddin.
Keputusan berani pengendali kebangsaan Datuk Ong Kim Swee yang tidak menyenaraikan penyerang senior itu nyata membuka peluang buat pemain kelahiran Pulau Mutiara itu membuktikan keupayaannya.
“Agak terkejut juga dengan panggilan kali ini kerana di bahagian serangan cuma ada saya, Hazwan Bakri dan Amri Yahyah.
“Sebelum ini pemain lebih senior seperti Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Safee Sali pasti tersenarai dalam skuad. Sudah pasti dengan ketiadaan mereka tugas untuk memburu gol diletakkan pada bahu saya dan rakan penyerang lain.
“Walaupun begitu, saya akan beri persembahan terbaik dalam sesi latihan nanti sekali gus cuba memikat hati jurulatih untuk diturunkan apabila menentang Timor Leste,” katanya yang mula melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Selain Kumaahran, seramai 14 pemain lagi turut melaporkan diri menjalani latihan pusat dengan baki 10 pemain lagi dari Johor Darul Ta’zim (Johor DT) hanya akan melapor pada Khamis ini, sehari selepas aksi pusingan kedua Piala AFC di Larkin.
Bagi memantapkan pasukan sebelum aksi play-off itu, skuad kendalian Kim Swee terlebih dulu akan diuji pasukan kebangsaan Myanmar di Yangon Sabtu ini pada aksi persahabatan berstatus A.
“Bagi saya kami perlu meraih kemenangan di Myanmar terlebih dulu bagi menaikkan motivasi pasukan sebelum menentang Timor Leste. Jika kemenangan dapat diraih, saya percaya laluan ke pusingan berikutnya dalam genggaman,” katanya.
Sekiranya pasukan negara berjaya mencatat kemenangan ke atas Timor Leste, Malaysia akan layak terus ke saingan peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia 2019 yang akan bermula pada 28 Mac 2017.
Namun, jika tewas, Malaysia tetap berpeluang untuk layak ke peringkat kumpulan itu tetapi perlu memenangi perlawanan play-off 2 bertemu Taiwan atau Kemboja pada 6 September (tempat sendiri) dan 11 Oktober (tempat lawan).
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 9:06 AM
No comments:
Post a Comment