Ad

Tuesday, 10 May 2016

Misi hidup mati Red Giants

10 Mei 2016 12:06 AM
PENYERANG dari Argentina, Mauro Olivi (kiri) menjadi sandaran
PENYERANG dari Argentina, Mauro Olivi (kiri) menjadi sandaran Selangor untuk merobek gawang Tampines Rovers dalam perlawanan Piala AFC di Stadium Nasional Singapura, malam ini.
KUALA LUMPUR 9 Mei – Pulang tanpa mata, Selangor akan tersingkir daripada saingan Piala AFC.
Itu situasi yang dihadapi skuad Red Giants apabila bertandang ke Stadium Nasional Singapura esok untuk menentang Tampines Rovers dalam perlawanan terakhir Kumpulan E.
Anak-anak buah Zainal Abidin Hassan hanya memerlukan seri untuk mengiringi kelab Filipina, Ceres FC ke peringkat kalah mati, namun Selangor tidak akan turun dengan misi untuk seri, sebaliknya mencari tiga mata selamat.
Malah, Zainal juga menegaskan, Red Giants tidak akan beraksi dengan strategi bertahan kerana 90 minit permainan bukan tempoh yang pendek.
Katanya lagi, kekalahan dalam aksi pertama menentang wakil kelab dari Singapura itu juga tidak boleh dijadikan ukuran bahawa kelebihan besar dimiliki pihak lawan kerana ketika itu Selangor mempunyai banyak peluang, namun gagal disempurnakan dalam bentuk jaringan.
“Tidak...saya sama sekali tidak datang ke sini untuk bertahan kerana ia bukan cara terbaik.
“Biarpun kita hanya memerlukan satu mata untuk layak tetapi saya lebih suka seandainya kita pulang bersama tiga mata.
“Mereka (Tampines) adalah pasukan yang kuat dan kelebihan beraksi di laman sendiri pasti mahu dimanfaatkan pihak lawan, namun anak-anak buah saya telah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk menghadapi tentangan sengit.
“Perlawanan pertama telah menjadi pengajaran berguna kepada kita dan segala kelemahan telah pun diperbaiki.
“Saya harap setiap peluang yang dimiliki nanti mampu dimanfaatkan pemain-pemain yang bakal diturunkan,” kata Zainal.
Dalam pertemuan pertama pada 30 April lalu, Red Giants tewas tipis 2-3 kepada Tampines Rovers di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, namun Zainal menegaskan, perlawanan kali ini bukan aksi balas dendam.
Selangor kini menduduki tangga kedua Kumpulan E dengan me­ngumpulkan lapan mata selepas mengharungi lima perlawanan menerusi dua menang dan seri.
“Kita turun bukan untuk misi balas dendam tetapi kita beraksi untuk membawa pulang keputusan positif.
“Saya harap semua pemain akan mempamer aksi terbaik, ber­displin tinggi dan memberi fokus sepenuhnya sehingga wisel penamat.
“Semua pemain mempunyai peluang untuk beraksi kecuali Saiful Ridzuwan Selamat dan Mohd. Hafiz Kamal yang digantung perlawanan,” jelasnya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/misi-hidup-mati-i-red-giants-i-1.321460#sthash.uQIIKiX6.dpuf

No comments:

Post a Comment