bicara agama
ARKIB :
03/08/2006
Oleh DR.
SIDEK BABA
BERFIKIR
proaktif ialah suatu kemahiran berfikir secara positif yang melibatkan
perancangan teliti dan rapi supaya hasilnya menjadi. Berfikir proaktif tidak
saja respons kepada sesuatu masalah yang dihadapi tetapi difikirkan bagaimana
sesuatu masalah itu dapat dileraikan dan jalan keluarnya dicari. Sesuatu
masalah tidak hanya dilihat sebagai masalah, ia dikaji dan diteliti
sebab-musababnya, dicari jalan keluarnya dan diberi alternatifnya.
Seorang
remaja umpamanya, mengalami masalah kenakalan, merosakkan harta awam adalah
remaja yang bermasalah. Berfikir proaktif membawa seseorang mendekati remaja
itu, melakukan komunikasi dan nasihat, mendengar masalah dan rintihannya,
menawarkan jalan keluar, berkawan dengannya dan akhirnya remaja itu mungkin
kembali semula ke jalan yang baik.
Seorang
pelajar yang bosan untuk belajar kerana perpecahan dalam keluarga didekati oleh
rakan yang prihatin, memberikannya galakan dan nasihat, membantunya dalam
kerja-kerja sekolah, berkawan dengannya dan akhirnya pelajar itu yakin semula tentang
pentingnya ilmu dan pendidikan.
Seorang
remaja lain yang baru belajar menghisap rokok, didampingi oleh sahabat baiknya
dengan nasihat yang berterusan supaya menghentikan rokok dengan menyatakan
akibat buruk merokok secara perlahan-lahan dapat diselamatkan akibat
terpengaruh dengan rakan yang lain.
Semua
perbuatan baik yang dinyatakan di atas adalah langkah proaktif yang dilakukan
supaya suatu keadaan yang mulanya tidak baik bertukar menjadi baik semula.
Berfikir ke arah sesuatu yang positif, pembaikan dan penyelesaian dikatakan
sebagai berfikir proaktif.
Dalam
tradisi Islam, berfikir proaktif adalah sesuatu yang amat digalakkan.
Rasulullah s.a.w. dalam usaha dakwah awalnya di Mekah, mendekati bapa
saudaranya Abu Talib untuk menyatakan kebenaran terhadap Islam sebagai agama
tauhid.
Rasulullah
tidak saja melihat bapa saudaranya sebagai seseorang yang mempunyai hubungan
darah tetapi yang lebih utama bagaimana bapa saudaranya boleh kembali menganut
ajaran yang benar dan diredai Allah.
Tugasnya
sebagai daie atau pendakwah adalah tanggungjawab yang utama, Pemberi hidayah
adalah kerja yang Maha Berkuasa. Ikhtiar adalah usaha manusia, membukakan
hatinya untuk menerima Islam adalah kerja Allah s.w.t.
Muaz bin
Jabal apabila ingin dihantar oleh Rasulullah sebagai Gabenor ke Yaman ditanya
oleh baginda tentang bagaimana urusan kenegaraan dapat dilakukan dengan baik.
Muaz bin
Jabal mengatakan bahawa akan menggunakan al-Quran sebagai sumber utama. Kalau
tidak ada di dalam al-Quran, ia akan menggunakan sunah Rasulullah s.a.w. dan
kalau tidak ada sunah Rasulullah, ia akan mengggunakan ijtihad. Rasulullah amat
berpuas hati dengan kenyataan Muaz itu. Itulah pemikiran proaktif yang dimiliki
oleh seorang Gabenor dalam mengurus negara Yaman.
Remaja Islam
harus memiliki upaya berfikir secara proaktif yang tinggi. Para remaja hari ini
sering berdepan dengan berbagai cabaran sama ada yang berkaitan dengan
cita-cita, perasaan, tekanan hidup, keremajaan, pergaulan apalagi percintaan.
Berfikir proaktif boleh membimbing remaja supaya tidak hilang pedoman apabila
berdepan dengan cabaran dan masalah, bersikap positif terhadap sesuatu perkara
yang berlaku walaupun ia pedih dan pahit dan sentiasa memikirkan jalan
penyelesaian kepada masalah.
Berfikir
Tanpa
memiliki upaya berfikir yang proaktif, para remaja boleh buntu dalam berdepan
dengan sesuatu masalah, hilang pedoman bila menghadapi kebuntuan atau melakukan
sesuatu tanpa banyak pertimbangan hingga menyebabkan keadaan menjadi lebih
buruk. Jalan keluar kepada sesuatu masalah tidak ada dan akhirnya kebinasaan
yang ditempa.
Sebelum
melakukan sesuatu remaja harus terlebih dahulu memikirkan buruk baiknya
sesuatu. Ada ketikanya akibat dorongan naluri dan nafsu remaja melakukan
sesuatu kerana ingin mencuba, hasrat yang meluap-luap, terpengaruh dengan rakan
sebaya atau ingin melepaskan rasa kekecewaan dan kehampaan terhadap sesuatu.
Akhirnya
para remaja terjebak dengan amalan salahguna dadah atau pergaulan yang lepas
bebas. Akibatnya para remaja hilang arah dan buntu mencari jalan kembali. Bila
ini berlaku remaja merasa lazat dan seronok yang sementara dan akhirnya timbul
ketagihan yang berkekalan dan akan membawa akibat buruk terhadap diri remaja.
Sebelum
mengambil dadah atau terjebak dalam pergaulan yang lepas bebas, remaja harus berfikir
dulu tentang baik-buruknya perbuatan tersebut.
Banyak bukti
dan banyak musibah yang boleh disaksikan tentang betapa bahayanya dadah dan
pergaulan yang lepas bebas. Sebab itulah para remaja Islam perlukan asas agama
dan akhlak supaya mereka memiliki benteng dan sempadan memilih yang buruk atau
pun yang baik. Tanpa asas agama dan pertimbangan akhlak para remaja mudah
terjebak dengan amalan salah laku.
Berfikir
proaktif harus dikaitkan dengan nilai syarak. Maksud kepada peraturan syarak
ialah untuk menjaga agama, maruah, akal fikiran, harta dan juga keturunan.
Sekiranya
remaja kita berfikir secara syarie iaitu mematuhi hukum-hakam Allah, ia berkait
rapat dengan maslahah atau kepentingan remaja sendiri. Islam tidak menyekat
para remaja untuk bergaul.
Berfikir
secara syarie dan proaktif membawa remaja berfikir bahawa ditahap remaja yang
nafsunya meluap-luap, tanpa batasan pergaulan boleh mendorong perkara-perkara
yang tidak baik.
Islam
mengambil pendekatan pencegahan lebih baik dari mengubati. Sekiranya sesuatu
telah terjadi, selalunya payah untuk dihentikan atau diubati. Nafsu-nafsi sudah
menguasai diri dan pertimbangan akal tidak memberi makna apa-apa. Yang
dipentingkan ialah kesedapan dan kelazatan yang sementara.
Berfikir
proaktif secara syarak boleh membawa remaja berfikir di sebalik batasan hukum
dan halangan syarak ada hikmah besar iaitu bagi menjaga maslahah remaja supaya
tidak terjebak dengan perangkap nafsu nafsi yang kadang-kadang tidak mengenal
batasan akibat.
Remaja Islam
yang berfikir proaktif sentiasa mengatur jalan hidupnya secara terancang.
Apabila bercita-cita tinggi ia membangunkan cita-citanya dengan usaha dan
kesungguhan, dengan perancangan dan persiapan dan akhirnya cita-cita itu dapat
dipenuhi.
Cabaran
Apabila
berdepan dengan cabaran, ia tidak mudah putus asas. Dicarinya jalan bagaimana
cabaran dapat diatasi dan jalan cita-cita tetap dilalui. Apabila bertemu
kegagalan, ia tidak putus harap sebaliknya terus berusaha memperbaiki keadaan,
membina strategi bijaksana supaya cita-cita tetap dipenuhi.
Remaja yang
berfikir proaktif akan sentiasa mempunyai jalan keluar dalam hidup. Ia tidak
mudah buntu dalam menghadapi kerenah hidup. Ia tidak mudah putus asa apabila
menghadapi kegagalan.
Kerenah
hidup baginya adalah pengalaman yang berguna dan kegagalan adalah ujian yang
perlu dilalui. Sikap proaktif menjadikan remaja tetap yakin bahawa dihujung
terowong akan ada cahaya yang menanti.
Dihujung
setiap usaha akan ada hasilnya. Dan dihujung cita-cita akan ada kejayaannya.
Tanpa berfikir proaktif remaja akan tewas sebelum perjalanan sampai dan remaja
akan terjebak dalam belitan hidup sehingga tidak mampu melepaskan diri lagi.
Berfikir proaktiflah yang boleh membantu remaja memilih jalan yang baik atau
sebaliknya.
- PROF. DR.
SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Gombak.
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz48nTFimcN
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment