Ad

Sunday, 8 May 2016

PERANAN GOLONGAN MUHAJIRIN DAN ANSAR DALAM PERKEMBANGAN MASYARAKAT ISLAM.

OLEH-AHMAD YAAKOB
       Nabi Muhammad SAW diutus bagi menyampaikan risalah kepada seluruh umat manusia tentang ajaran Islam. Baginda ialah Nabi dan Rasul terakhir.Hal ini bermakna tidak ada nabi dan rasul selepasnya. Baginda telah berjaya mernbentuk sebuah masyarakat (ummah) dan negara Islam di Madinah.Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, telah berlaku suatu perubahan besar dari sudut politik, ekonomi dan sosial umat Islam yang membawa kepada perkembangan budaya dan masyarakat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan. Peristiwa ini telah mencetuskan suatu fenomena baharu dalam sejarah umat Islam bermula dari era Khulafa' al-Rasyidin hinggalah kepada era-era selepasnya.[1]
Golongon Muhajirin
Golongan Muhajirin merupakan pengikut Nabi Muhammad SAW yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.Istilah Muhajirin berasal daripada perkataan hijrah, penghijrahan; orang yang berhijrah dipanggil al-Muhajir (secara jamak: al-Muhajirin).

       Golongan Muhajirin bukan orang pelarian; seperti mana anggapan sesetengah orientalis, tetapi mereka berpindah/berhijrah dari kota Makkah ke kota Madinah kerana mematuhi suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya derni masa depan Islam yang lebih cerah.Di Madinah, golongan Muhajirin mendapat pertolongan dari segi fizikal dan moral daripada golongan Ansar.

       Golongan Muhajirin diberitakan dalam al-Quran (surah al-Baqarah: 215, surah al-Imran: 191) mendapat rahmat dan pahala yang amat besar daripada Allah SWT kerana pengorbanan mereka berhijrah.Nabi Muhammad SAW telah mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan golongan Ansar untuk menjadi umat yang mulia dan kuat.Golongan Muhajirin dianggap sebagai golongan yang terawal memeluk agama Islam dan paling banyak berjasa dalam menegakkan ajaran tauhid.

Golongan Ansar
Golongan Ansar ialah penduduk Madinah, khususnya daripada kaum Aus dan Khazraj yang telah memeluk agama Islam.Mereka membantu Nabi Muhammad SAW sebelum dan selepas
berhijrah ke Madinah (622M).Golongan Ansar bersama Muhajirin telah menegakkan negara Islam Madinah.Golongan Ansar banyak berkorban, sama ada dari segi harta benda, tenaga dan jiwa raga untuk mengembangkan agama Islam.[2]

Peranan golongan Muhajirin dan Ansar.
Antara peranan Muhajirin di Mekah ialah menerima dan mempertahankan Islam walaupun menerima tentangan yang hebat daripada kaum musyrikin Mekah. Mereka adalah kelompok pertama menerima Islam dan mempertahankan keutuhan Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

      Mereka juga adalah golongan pertama yang melafazkan kesetiaan terhadap Islam dan berjuang bersama-sama dengan Nabi Muhammad S.A.W.Mereka sanggup menerima tentangan sama ada dalam bentuk fizikal dan mental. Mereka menerima pelbagai ejekan, penghinaan, kata nista, penyeksaa dan pembunuhan Sebagai contohnya, tokoh-tokoh seperti Abu Bakar alSiddiq, Zubair bin Awwam, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan lain-lain adalah pendukung Islam semasa dakwah secara sulit di Mekah. Tegasnya, mereka sanggup menghadapi segala rintangan dan penentangan daripada kaum musrikin Quraisy bagi memastikan Islam terus tertegak dan berkembang.[3]

      Selain itu, peranan golongan Ansar di Mekah ialah menerima dan menyokong ajaran Nabi Muhammad S.A.W. yang merintis penghijrahan ke Madinah. Mereka menyatakan kesanggupan menerima Islam dalam Perjanjian Aqabah 1 dan 2, dalam keadaan golongan musyrikin Mekah melancarkan penentangan yang keras. Mereka berikrar untuk berjuang bersama-sama Nabi Muhammad S.A.W. Buktinya, mereka bertanggungjawab membawa dan menyebarkan Islam di Madinah. Kesannya, agama ini telah berkembang di Madinah dan golongan Ansar saling berganding bahu dengan golongan Muhajirin dalam mepertahankan Islam.

      Disamping itu, peranan golongan Muhajirin di Madinah ialah membantu Nabi Muhammad S.A.W. dalam urusan keagamaan dan dakwah. Golongan Muhajirin merupakan pembantu utama Nabi Muhammad S.A.W. di Madinah khususnya dalam urusan keagamaan dan pentadbiran.Muhajirin berperanan dalam mengembangkan dakwah Islam. Mereka bersama Nabi Muhammad S.A.W. menjalankan dakwah secara terbuka di Madinah. Hasilnya umat Islam berjaya membina Masjid di tengah-tengah Kota Madinah dan dapat melakukan ibadat secara terbuka. Tegasnya, peranan golongan Muhajirin semasa dakwah Nabi Muhammad S.A.W. di Madinah dapat membantupenduduk Madinah mendalami ajaran Islam.

      Akhirnya, peranan golongan Ansar di Madinah ialah menyumbang harta benda dan buah fikiran. Sebagai penduduk tempatan, mereka turut menyumbangkan harta benda dan buah fikiran dalam menjayakan perjuangan dan perkembangan Islam termasuk menyertai perjuangan jihad.Golongan Ansar juga menyumbangkan harta benda dalam menghadapi serangan musuh Islam. Sebagai contoh, Salman al-Farisi mencadangkan pembinaan parit dalam Perang Khandak. Tegasnya, mereka telah memainkan peranan penting dalam merperjuangkan dan membangunkan negara Islam Madinah.

      Sebagai kesimpulan, golongan Muhajrin dan Ansar mempunyai peranan tersendiri dalam membantu Nabi Muhammad S.A.W. mempertahanjan dan mengembangkan risalah Islam. Masing-masing berperanan besar yang menjadi tulang belakang dan gandingan mantap bagi memastiksn kejayaan perjuangan Nabi Muhammad S.A.W di Mekah dan Madinah.[4]




[1] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini(Shah Alam:Oxford Fajar,2014),26.
[2] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),53.
[3] https://fastnote.files.wordpress.com/2016/05/modul-puncak-sejarah-stpm-p2-melaka-2016.pdf,4
[4] Ibid,6.

No comments:

Post a Comment