Oleh-AHMAD BIN YAAKOB.
1.Perjanjian
Melalui perjanjian
Perjanjian Sumatera 1871
Pada tahun 1871, Perjanjian Sumatera ditandatangani antara Belanda dengan British yang memberi kebebasan kepada Belanda untuk berkuasa di Sumatera.
Sebab Perjanjian Sumatera 1871
Di Sumatera, Belanda mengamalkan dasar berhati-hati berpandukan Perjanjian Inggeris-Belanda l824 kerana kedua-dua kuasa Barat ini telah bersetuju menghormati kemerdekaan dan kedaulatan Acheh. Oleh itu, peluasan kuasa Belanda ke Sumatera adalah secara berperingkat-peringkat.
Untuk melindungi kepentingan dan kedudukan mereka di Indonesia, pihak Belanda terpaksa menghapuskan kegiatan lanun dan perdagangan hamba abdi di Sumatera. Antara tahun 1856 hingga 1868, pulau-pulau Lampung dan daerah Batak jatuh kepada kuasa Belanda.
Pada tahun 1868, Sultan Siak meminta bantuan seorang pedagang British bernama Wilson apabila baginda diancam oleh musuhnya. Wilson berjaya mengalahkan musuh Sultan Siak dan merampas Siak untuk dirinya.
Tindakan Wilson membimbangkan pihak Belanda. Untuk menjamin kedudukan mereka, Belanda mengusir Wilson secara paksaan. Belanda telah menandatangani perjanjian dengan Sultan Siak yang meletakkan wilayah Siah Deli, dan negeri naungannya, iaitu Serdang, Langkat, dan Asahan di bawah pemerintahan Belanda.
Kemaraan Belanda telah membangkitkan bantahan hebat dari British yang mendakwa Belanda telah melanggar Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.
Memandangkan perselisihan tersebut, maka satu penyelesaian perlu diadakan. Akhirnya, Perjanjian Sumatera I87I ditandatangani.[1]
Syarat Perjanjian Sumatera (1871)
1.Belanda menyerahkan kawasan milik mereka di Afrika Barat kepada British.
2.Belanda bebas bergerak di Sumatera.
Kesan Perjanjian Sumatera (1871)
1.Belanda berjaya memperkukuhkan kuasanya di Sumatera.
2.Dasar peluasan kuasa Belanda secara besar-besaran bermula pada tahun 1871 selepas Perjanjian Sumatera ditandatangani.
3.Belanda berjaya menguasai seluruh Sumatera.
4.Belanda berpeluang meluaskan kuasanya terhadap Acheh.[2]
2.Peperangan dan penaklukan.
Melalui kekuatan tentera
Belanda menghantar ekspedisi tenteranya ke Bali pada tahun 1846 dan 1849 untuk mengatasi pemberontakan raja-raja tempatan. Bali dikuasai pada tahun 1856.
Satu ekspedisi tentera juga dihantar ke Sulawesi bertujuan untuk menghapuskan kegiatan perlanunan yang berleluasa dalam kalangan orang Bugis.
(c) Melalui gerakan tentera, Belanda menguasai daerah Lampung (1856), Batak (1858), dan Bangkahulu (1868).[3]
Melalui peperangan
1.Jambi
Jambi menjalin hubungan dengan Belanda sejak abad ke-18.
Belanda pernah membina pangkalannya di Jambi tetapi atas sebab tertentu meninggalkannya pada tahan 1724.
Pada tahun 1833, Belanda cuba menegakkan kuasanya ke atas Jambi semasa pemerintahan Sultan Muhammad Fakruddin.
Belanda memaksa ]ambi mengadakan perjanjian mengakui ketuanannya apabila Jambi kalah dalam peperangan dengan Palembang.
Sultan Jambi yang baharu, iaitu Sultan Thaha enggan mengakui kekuasaan Belanda. Belanda bertindak balas pada tahun 1858 dengan melancarkan serangan ke atas Jambi. Pertempuran berlaku di Betung Berdarah yang menyaksikan kekalahan Sultan Thaha. Sultan Thaha berundur ke kawasan pedalaman.
Sultan Jambi yang terakhir, iaitu Sultan Ahmad Zainuddin mengundurkan diri daripada takhta kerajaan pada tahun l901.Dengan ini, pentadbiran Jambi diserahkan kepada Residen Palembang pada tahun 1901. Ini menandakan berakhirnya Kesultanan Jambi.[4]
2.Acheh
Dasar peluasan kuasa Belanda ke Acheh mencetuskan perang Acheh yang berlarutan selama 35 tahun dari tahun 1873 hingga 1908.
Usaha peluasan kuasa Belanda bertujuan untuk menghapuskan kegiatan perlanunan di perairan Acheh. Selain itu, Belanda juga bimbang dengan dasar imperialisme kuasa lain seperti Itali, Perancis, Turki, dan Amerika Syarikat terhadap bahagian Sumatera yang belum dikuasai sepenuhnya. Belanda ingin menguasai perdagangan yang dijalankan di Acheh.
Tambahan pula, Belanda dapat bergerak bebas terhadap Acheh kerana mengikut Perjanjian Sumatera 1871, British tidak akan menghalang Belanda meluaskan kuasanya di Sumatera. Sebagai balasan, Belanda memindahkan haknya ke atas Afrika Barat kepada British.
Perang Acheh bermula apabila angkatan Belanda tiba di Pantee Ceureumen pada bulan April 1873 tetapi dapat dikalahkan oleh tentera Acheh. Satu siri peperangan telah berlaku antara Belanda dengan Acheh.
Pada tahun 1893, Belanda di bawah Gabenor Jeneral, van der Wijik bertindak keras terhadap Acheh dengan memburu gerila Acheh sehingga pemimpin gerila Acheh terpaksa menyerah diri. Acheh terpaksa menyerah kalah kepada Belanda pada tahun 1903.[5]
Perang Jawa 1825-1830.
Perang Jawa 1825-1830 berlaku akibat perasaan tidak puas hati Diponegoro, putera kerajaan Jogjakarta terhadap dasar pentadbiran Baron Van Der Capellan di Pulau Jawa. Perang Jawa tercetus disebabkan oleh pembatalan Kontrak Sewa Tanah, persoalan takhta kerajaan dan ketokohan Diponegoro sebagai pemimpin agama Islam tidak diiktiraf oleh Belanda.Akibat daripada peperangan tersebut, Belanda berjaya menguasai Banjumas, Bangelan, Madiun dan Kediri yang sebelum ini dikuasai oleh sultan Jogjakarta. Sultan Pakubuwono, Sultan Surakarta dibuang negeri ke Ambon dengan gelaran Pakubuwono VII yang menjadi boneka kerajaan Belanda.[6]
[1]Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2013),307.
[2]Ibid,307.
[3]Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2015),303.
[4] Ibid,304.
[5] Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2014),304.
[6]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf,AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3 Edisi Kemaskini, (Shah Alam: Oxford Fajar,2014) ,300.
No comments:
Post a Comment