Ad

Friday, 19 August 2016

Gesa pulihara makam alim ulama

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 OGOS 2016
 Gesa pulihara makam alim ulama
 Gesa pulihara makam alim ulama Ismail menunjukkan satu lagi kubur lama di kampung Bangau Tanjung dipercayai milik seorang lagi Tok Bangau di kampung tersebut, semalam.
TEMERLOH – Sebuah makam lama dipercayai milik Kadi Ismail di Kampung Bangau Tanjung di sini, perlu diberi perhatian kerana mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Allahyarham antara alim ulama tersohor satu ketika dahulu, namun beliau tidak dikenali generasi sekarang.

Kadi Ismail mempunyai gelaran lain antaranya Raja Ismail Bugis, Tun Ismail dan Kadi Ismail Mendailik dipercayai adalah Tok Bangau kedua yang diberi amanah menjaga serta mentadbir mukim Bangau dalam daerah Temerloh satu ketika dahulu.

Berdasarkan pemerhatian seorang pengkaji sejarah dari Kampung Berhala Gantang, Zainal Abidin Lebai Hasan, makam Kadi Ismail ini terletak bersebelahan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) milik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Kampung Bangau Tanjung.

Menurutnya, makam lama ini terletak atas busut dan hanya mempunyai satu batu nisan akibat tidak dijaga dan diberi perhatian atau mungkin hilang akibat bencana alam.

“Kadi Ismail mempunyai ramai keturunan cicitnya dan sekiranya makam ini diberi perhatian sudah tentu akan menimbulkan minat ramai untuk mengkaji sejarahnya.

“Sekali gus, ia dapat menarik minat keturunannya yang ada untuk kembali bertaut selepas mengetahui asal usul dan keturunan nenek moyang mereka,” katanya.

Zainal Abidin berkata, Kadi Ismail membuka pondok pengajian sekitar 1720-1740 dan mempunyai dua anak

Menurutnya, seorang daripada anaknya, Tun Tuan menjadi Tok Bangau ketiga pada 1750.

“Selaku pengkaji sejarah, saya berasa sangat rugi sekiranya makam alim ulama yang terkenal satu masa dahulu ini dibiarkan tanpa ada usaha untuk menjaga persekitarannya.

“Paling tidak makamnya ini dapat dikenali dan diketahui cicit-cicit keturunannya yang ada sekarang,” katanya.

Zainal Abidin berkata, beliau berharap kerajaan negeri atau setidak-tidaknya pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi perhatian memulihara makam yang ada.

"Pendedahan sejarah kubur lama di Kampung Bangau Tanjung itu tidak mempunyai sebarang niat buruk tetapi sekadar berkongsi sejarah untuk generasi sekarang," katanya.

Sementara itu, seorang warga emas di Kampung Bangau Tanjung, Ismail Omar 77, berkata, beliau tidak mengetahui asal usul makam lama tetapi sekadar mengetahui ia milik alim ulama.

Menurutnya, terdapat beberapa kawasan lagi di kampung itu yang mempunyai kubur-kubur lama yang beliau sendiri tidak tahu asal-usulnya.

“Walaupun tak tahu asal-usulnya tetapi elok sekiranya ada pihak yang mengambil berat mengenai perkara ini supaya generasi baharu tahu sejarahnya dan boleh dikaji bersama,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Nazri Sidek 62, berkata, sememangnya diketahui orang lama di Kampung Bangau Tanjung yang makam lama itu adalah milik alim ulama.

Menurutnya, selain makam tersebut terdapat lebih kurang 40 kubur lama bersebelahan Tabika tersebut dan dia mengambil peluang membersihkan kawasan tersebut setiap tahun sejak kecil lagi kerana berhampiran dengan rumahnya.

“Di kawasan ini memang terdapat banyak kubur lama termasuklah dalam kawasan tanah di rumah saya, tetapi yang saya tahu, kubur lama ini milik alim ulama mengikut cerita orang-orang tua dahulu.

“Tapi saya tak pasti adakah ia milik Kadi Ismail, sekiranya ada sejarah atau kajian menunjukkan ia betul maka mungkin ia betul,” katanya.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 18 OGOS 2016

No comments:

Post a Comment