Oleh ADHAM SHADAN
Foto GHAZALI BASRI
ANGGOTA 39er saling berpelukan bagi melepaskan kerinduan masing-masing dalam satu pertemuan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
SEGALA-GALANYA bermula di situ. Sekolah Pegawai Kadet (SPK), Kem Sebatang Karah di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan pada 1980-an mempertemukan mereka untuk diasah menjadi ‘harimau’ yang penuh dengan ilmu di dada.
Daripada seorang individu biasa, di sekolah itu, mereka ‘dicanai’ bukan sekadar untuk menjadi perwira sebaliknya pahlawan yang berupaya mengepalai bala tentera demi mempertahankan nusa.
SPK ditubuhkan secara rasmi pada 1 Januari 1981 menggantikan Yunit Latihan Pendahuluan Pegawai Kadet (YLPPK) yang telah wujud sejak 1950-an. Ia ditubuhkan bagi melatih golongan belia yang berkelayakan untuk menjadi pegawai tentera.
Berteraskan cogan kata Sentiasa Di Hadapan, mereka yang mengikuti pengambilan Tauliah Jangka Pendek (TJP) mengharungi latihan bersama selama sembilan bulan sebelum ditauliahkan menjadi pegawai tentera berpangkat Leftenan Muda dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Memori itu masih segar dalam ingatan bekas pegawai tentera Orang Asli suku Semai, Kapten (B) Juhari Kangsar Abdullah, 54. Daripada seorang Orang Asli yang hanya hidup dalam lingkungan komunitinya, Juhari mengenal erti kesungguhan untuk bergelar pegawai tentera.
Beliau yang mengikuti TJP siri ke-39 meninggalkan kampung halamannya di Sungai Koyan, Kuala Lipis, Pahang untuk bersama 270 orang yang bercita-cita menjadi pegawai tentera darat dan udara.
“Terlalu banyak kenangan kalau hendak diingatkan. Di situ, kami mengenal semangat setia kawan. Kami seperti adik-beradik yang akan dihukum bersama jika ada yang melakukan kesalahan.
“Di situ, kami bersama-sama dilatih dengan latihan yang perit dan keras untuk melahirkan jiwa kental, sehinggakan bila dikenang balik selepas setiap latihan getir itu berakhir, kami masing-masing akan fikir ‘tak mati juga aku ni’,” selorohnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri dan pertemuan skuad TJP siri ke-39 di kediaman Leftenan Kolonel Tengku Datuk Seri Kamarulzaman Sultan Sir Abu Bakar di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Juhari berkata, beliau dan Tengku Kamarulzaman dalam batalion serta kor yang sama semasa menyertai siri ke-39 TJP.
Mereka ditauliahkan pada 27 Jun 1981, diikuti dengan latihan lanjutan selama enam bulan di Sekolah Tempur Pegawai Muda (STPM) di Kem Paradise, Kota Belud, Sabah sebelum terpisah.
Oleh kerana negara ketika itu masih berhadapan dengan ancaman komunis, Juhari berkata, kehidupan dan latihan yang diharungi para pegawai kadet sangat keras untuk membentuk sifat keperwiraan yang cukup tinggi.
Terpisah
Beliau menambah, ini merupakan pertemuan pertamanya bersama Tengku Kamarulzaman selepas lebih tiga dekad terpisah.
Juhari hanya sempat memikul tugas selaku pegawai tentera selama 11 tahun kerana terpaksa menyambung perniagaan rotan keluarganya.
“Pertemuan ini cukup istimewa dan bermakna bagi saya. Hampir 80 peratus kawan-kawan yang hadir adalah pertama kali saya temui sejak lebih 30 tahun lalu,” katanya yang kini bekerja sebagai pegawai keselamatan di Pulau Pinang.
Seramai 79 skuad TJP-39 yang kini digelar kumpulan Thirty Niner (39er) menghadiri rumah terbuka Tengku Kamarulzaman yang berlangsung baru-baru ini. Suasana diselubungi gurau senda apabila masing-masing melepaskan kerinduan dan mengenang memori bersama di SPK.
Tengku Kamarulzaman yang juga adinda Sultan Pahang merupakan penaung 39er yang kini berjaya menghimpunkan kembali 227 skuad TJP-39 menerusi laman sosial.
“Di sekolah itu, kami belajar taktik berperang dan undang-undang tentera. Kami dihidangkan dengan latihan, disiplin dan suasana ragging yang keras untuk membentuk ketahanan mental serta fizikal.
“Jadi, kalau kami berdepan komunis dan musuh kelak, apa pun yang mereka hendak lakukan ke atas kami, kami tidak takut,” katanya yang kini merupakan Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah.
Buaya
Kemeriahan pertemuan ahli kumpulan 39er di Rumah Terbuka Aidilfitri Tengku Kamarulzaman (berdiri, sepuluh dari kanan) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Tengku Kamarulzaman sendiri mempunyai kisah yang membekas dalam ingatannya apabila mengenangkan SPK.
“Saya paling ingat apabila kami diarah masuk ke dalam hutan selama kira-kira lima hari dan dikehendaki untuk pulang semula ke kem tanpa ditangkap jurulatih. Hakikatnya, semua orang akan ditangkap jurulatih.
“Saya ditangkap dekat Jambatan Linggi sebab di bawah jambatan itu terdapat sungai. Kalau sungai sahaja, saya tak takut, tapi sungai itu ada buaya. Saya sudah cuba masuk dalam sungai tetapi tak dengar bunyi buaya dalam air. Nak lari macam mana, saya menyerahlah,” katanya.
Tengku Kamarulzaman berkata, selepas tamat latihan di SPK, mereka dikehendaki mengikuti latihan pegawai muda di STPM Kota Belud yang latihannya lebih keras kerana tanggungjawab sebagai pemimpin bertambah besar.
“Saya rasa di sana, hidup tidak serupa orang. Tiada air sehingga mandi pun dengan air lopak.
“Kami berlatih merangkak dengan peluru-peluru bersimpang-siur di atas kepala kami. Jika tersilap gerak tubuh, maut padahnya,” katanya.
Sebagai adinda kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang merupakan Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, Tengku Kamarulzaman berkata, tiada jurang antara beliau dan rakan-rakan lain.
“Apa yang mereka lalui, saya lalui. Tuanku pun semasa mencemar duli ke kem kami turut berpesan kepada jurulatih supaya jangan memberikan keistimewaan kepada saya,” katanya.
Sementara itu, Leftenan Kolonel Idris Borhan berkata, pertemuan itu mengingatkannya kepada kenangan di SPK apabila mereka saling membantu dalam kumpulan.
“Kami teringat latihan yang berat. Ada antara rakan yang tidak larat untuk meneruskan larian sejauh 25 kilometer, kami tolong tarik dia dan bawakan senjatanya.
“Kami perlu bertindak secara berkumpulan dalam situasi mengejar masa,” katanya yang diberikan tanggungjawab sebagai ketua platun semasa memerangi komunis pada tahun 1983.
Rindu
Kapten (B) Ibrahim Kabir yang pernah berkhidmat dalam pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia berkata, antara denda yang paling diingati semasa menjalani latihan di SPK adalah bermalam di dalam laut.
“Ia boleh berlaku dengan macam-macam kesalahan termasuk silap berkawad. Hukuman tidur dalam laut itu dilakukan dengan berendam dan hanya menimbulkan kepala.
“Kita tengok hukuman itu macam menyeksa tetapi sebenarnya semua hukuman yang dikenakan adalah berbentuk mengajar dan memberi manfaat. Ia mempersiapkan saya sebagai pegawai tentera udara jika ditakdirkan berdepan situasi terhempas di laut,” katanya.
Bagi Ibrahim, kawan-kawan di SPK adalah paling dirinduinya kerana mereka mengharungi cabaran bersama-sama.
“Selepas bersara daripada tentera, saya rindukan kawan-kawan iaitu mereka yang sama mengharungi cabaran hebat selama sembilan bulan untuk bergelar pegawai kadet.
“Apabila seorang buat salah, satu kumpulan menerima hukuman. Ia lebih daripada kawan semasa sekolah rendah atau menengah kerana di situ, kami bersama-sama mengharungi cabaran yang tidak dilalui oleh orang biasa,” katanya.
Kolonel Shamsudin Mahadi yang merupakan Setiausaha 1 39er pula berkata, sejak tahun 2006, usaha mengesan anggota skuad dilaksanakan dan banyak siri perjumpaan telah diadakan.
“Perjumpaan kali ini tanpa disangka-sangka mendapat sambutan yang menggalakkan daripada anggota skuad 39er.
“Semoga persahabatan yang bermula di SPK Kem Sebatang Karah ini akan terus berkekalan,” ujarnya.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0810&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4GvaDTdJJ Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment