KALI terakhir skuad bola sepak
negara menjuarai Pestabola Merdeka ialah pada edisi 2013 selepas menewaskan
Myanmar pada perlawanan akhir.
HARI Kemerdekaan ke-59 yang
disambut esok semestinya dinantikan rakyat negara ini yang terdiri daripada
pelbagai kaum.
Terdapat pelbagai cara yang
boleh dizahirkan rakyat untuk menunjukkan rasa cinta kepada tanah air, begitu
juga menerusi bidang sukan.
Kecintaan terhadap negara
dizahirkan melalui semangat pemain atau atlet yang bertanding untuk
mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, manakala sokongan padu
peminat juga merupakan sebahagian daripadanya.
Sukan bola sepak adalah antara
sukan paling diminati rakyat negara ini dan apabila negara mencapai kemerdekaan
pada 1957, Pestabola Merdeka turut dianjurkan buat kali pertama yang menjadi
acara tahunan sehingga 1988.
Bagi beberapa bekas pemain bola
sepak kebangsaan, penganjuran semula Pestabola Merdeka yang kali terakhir
diadakan pada 2013 adalah antara cara untuk pemain tempatan melahirkan rasa
cinta kepada negara.
Bekas pemain kebangsaan era
70-an dan 80-an, Hassan Sani berkata, kejohanan tersebut patut dianjurkan
semula, terutamanya pada sambutan Hari Kemerdekaan ini kerana ia begitu dekat
di hati pemain dan peminat khususnya pada era sekitar 70-an.
Katanya, beberapa kuasa utama
bola sepak ketika itu seperti Jepun, Korea Selatan turut menyertai kejohanan
tersebut, sekali gus memberi saingan sengit kepada skuad kebangsaan yang
menikmati detik kegemilangan menerusi kelincahan Allahyarham Datuk Mokhtar
Dahari yang begitu digeruni pasukan lawan.
“Saya masih ingat lagi ketika
saya mewakili skuad kebangsaan pada 1979 hingga 1986, semangat yang diberikan
rakan-rakan sepasukan ketika itu begitu berkobar-kobar dan kami hanya mahukan
kemenangan tanpa memikirkan habuan.
“Kejohanan ini bagi saya
sepatutnya dihidupkan semula kerana kita sedang berada dalam bulan kemerdekaan
selain kami selaku pemain veteran, dapat mengimbau kembali kenangan lama ketika
mewakili skuad negara,” jelas bekas pemain Sabah itu.
Hassan yang merupakan antara
tonggak utama yang membantu skuad kebangsaan layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980
menegaskan bahawa perpaduan jelas utuh dalam skuad kebangsaan yang ketika itu
diwakili hampir kesemua bangsa daripada pelbagai latar belakang.
“Saya masih ingat lagi pasukan
kita ketika itu diwakili pemain keturunan Melayu, Cina, India serta Sikh, namun
sayangnya kepelbagaian kaum tidak boleh lagi dilihat dalam skuad kebangsaan
ketika ini,” jelas Hassan yang kecewa dengan prestasi semasa skuad Harimau
Malaysia yang semakin merudum.
Berkongsi pandangan sama adalah
bekas pemain tengah kebangsaan era 70-an dan 80-an, Bakri Ibni yang menyifatkan
nama kejohanan itu sendiri berjaya menarik perhatian beberapa negara termasuk
dari luar benua Asia.
Bekas pemain dan jurulatih
Perlis itu menegaskan, kepesatan pembangunan yang terdapat di Kuala Lumpur pada
era 80-an turut mendorong beberapa pasukan luar seperti Maghribi dan Iraq
menyertai kejohanan tersebut.
“Saya bukan bercakap besar tapi
nama kejohanan itu sendiri sudah terlalu megah selain kepesatan pembangunan
di bandar Kuala Lumpur itu sendiri menarik perhatian pasukan luar menyertai
Pestabola Merdeka.
“Saya masih ingat kemeriahan
kejohanan ini pada era 70-an dan 80-an yang begitu dirasai peminat sehingga
memenuhi setiap sudut stadium bagi memberikan sokongan kepada pemain
kebangsaan, tak kira pemain itu bangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya.
“Kejohanan ini juga pernah
diadakan di luar Kuala Lumpur seperti di Ipoh dan Kota Bharu yang mana penduduk
di sana sanggup mengambil cuti pada hari perlawanan untuk melihat secara
langsung kelibat Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari,” kata Bakri.
Sehubungan itu, beliau meminta
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kembali mewujudkan kejohanan tersebut yang
mempunyai catatan sejarah tersendiri.
Kali terakhir Pestabola
Merdeka diadakan adalah pada 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan yang
menyaksikan skuad bawah 22 tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee muncul
juara selepas menang 2-0 ke atas Myanmar pada aksi final. – Bernama
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4Ip3Kcl3a
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment