KELIBAT beruang berkeliaran di
kawasan halaman rumah penduduk di Kampung Timur, Jeli.
Jeli: Dua suri rumah berdepan
cetik cemas selepas melihat seekor beruang berkeliaran di halaman rumah meluru
ke arah mereka dalam kejadian di Kampung Timur, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9 pagi,
wanita itu, Siti Nor Amalini Abdullah, 27, bersama sahabat baiknya, Siti Rokiah
Che Muda, 29, sedang berbual di luar rumah.
Siti Nor Amalini berkata,
ketika sedang berbual, rakannya ternampak kelibat seekor haiwan berwarna hitam
di dalam dusun buah-buahan yang terletak di sebelah rumah dan pada awalnya
menyangka ia adalah kambing.
“Beruang itu cuba mendekati
kami dan kerana terlalu takut, kami berlari masuk ke dalam rumah bagi
menyelamatkan diri.
“Saya dan rakan hanya memerhati
gelagat beruang berkenaan yang dianggarkan seberat lebih 40 kilogram menerusi
tingkap.
“Haiwan itu berkeliaran selama
satu jam dipercayai datang dari hutan berdekatan untuk mencari makanan,”
katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Katanya, haiwan itu kemudian
melarikan diri selepas dihalau abangnya, Mohd Ghazali, 42, yang secara
kebetulan datang ke rumah.
Menurutnya, beruang terbabit
datang semula ke dusun berkenaan pada jam 6 petang kelmarin sebelum beredar ke
hutan.
“Bimbang keselamatan kami, saya
menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Jeli untuk menangkap
beruang berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai JPAM
Daerah Jeli Ahmad Suhaizi Ahmad Suhaimi berkata, sebaik menerima panggilan pada
jam 10.05 pagi kelmarin, pihaknya menghantar tiga anggota ke lokasi berkenaan
bagi memantau dan menangkap haiwan terbabit.
“Ketika tiba, kami mendapati
haiwan berkenaan sudah tiada di dalam dusun dan cuba mencari di kawasan
berdekatan, namun gagal.
“Kami percaya beruang itu sudah
lari ke dalam hutan berdekatan,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 11:59 AM
No comments:
Post a Comment