Cabaran 13 muka baru
Aziman Rosdi-aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali
Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee (gambar dua kiri) mencabar barisan
pemainnya khususnya 13 muka baru untuk membuktikan kemampuan merebut tempat
dalam skuad utama bagi menghadapi kejohanan Piala AFF di Yangon, Myanmar pada
November ini.
Ketiadaan empat tonggak yang
bersara dari pentas antarabangsa membabitkan kapten Safiq Rahim, Aidil Zafuan
Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal selain masalah kecederaan
menyaksikan hanya 11 daripada 24 pemain skuad Jelajah Oceania 2016 pada Jun
lalu, dikekalkan.
Bagi Kim Swee, beliau menaruh
harapan tinggi kepada pemain kali ini biarpun ada antara mereka tidak pernah
beraksi di pentas antarabangsa termasuk bekas kapten Harimau Muda A Irfan
Fazail, Amer Saidin (Johor DT II) , S Veenod (Selangor), Hafizul Hakim Khairul
Nizam (Perak), Fakrul Aiman Sidid (PDRM) dan Safawi Rasid (T-Team).
“Rata-rata pemain dipanggil
kali ini membabitkan pemain muda yang mempunyai pengalaman antarabangsa di
peringkat remaja sebelum ini dan dipanggil semula untuk skuad senior bagi
memberi peluang kepada mereka membuktikan sesuatu.
“Sebagai contoh, Irfan sebelum
ini mempunyai pengalaman luas beraksi bersama Harimau Muda di Sukan SEA dan
Kelayakan Olimpik. Jadi pasti ini cabaran buat dirinya termasuk Amer Saidin dan
Wan Zack Haikal yang dipanggil semula untuk membuktikan yang mereka mampu
bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Selain enam pemain itu, Kim
Swee turut memanggil semula pemain seperti Khairulazhan Khalid (Selangor),
Nazirul Naim Che Hashim dan Shahrul Saad (Perak), Ronny Harun (Sarawak) dan
Matthew Davies (Pahang) yang disisihkan sebelum ini.
Penjaga gol Izham Tarmizi
Roslan, Junior Eldstal, Fazly Mazlan, Mahalli Jasuli, Shahrom Kalam dan
Christie Jayaseelan antara yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan manakala
penjaga gol Farhan Abu Bakar, S Chanthuru, Amirulhisyam Awang Kechik dan S
Kumaahran tiada dalam senarai atas alasan prestasi semasa.
Dengan saingan Piala AFF
semakin hampir, Kim Swee mahu kesemua pemain segera mendapat rentak bermula
dengan aksi persahabatan antarabangsa menentang Indonesia di Stadium Manahan,
Solo pada 6 September ini.
“Sudah tentu tempoh masa
singkat untuk kem latihan pusat kali ini dengan jadual yang padat dan tidak
banyak perkara yang boleh saya lakukan. Jadi apa yang perlu saya fikir sekarang
ialah membentuk kombinasi tertentu selepas kesebelasan ketika bertemu
Timor-Leste dan siri Jelajah Oceania tidak dapat bersama kali ini.
“Ini pemain terbaik yang saya
lihat ketika ini dan mereka harus membuktikan yang mereka mampu bersaing di
peringkat antarabangsa sebelum saya memutuskan untuk persiapan yang akan
datang.”
Kesemua pemain yang
disenaraikan itu perlu melaporkan diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin ini
kecuali tiga pemain - Adam Nor, Davies dan Safawi yang akan menyertai kem
latihan pusat diri 31 Ogos ini selepas mereka selesai beraksi bersama skuad
B-22 negara untuk perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Bahrain B-22 di
Stadium Shah Alam, Selasa ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 5:07 AM
No comments:
Post a Comment