Ad

Friday, 26 August 2016

Pak Din tempur komunis seorang diri

PAK DIN menunjukkan keratan akhbar Malaysia yang melaporkan mengenai kejadian diserang pengganas komunis pada 8 Mac 1979 lalu.

Usia Muhammad Nordin Tuah yang kini mencecah 76 tahun digolongkan sebagai warga emas. Kadang-kadang, individu yang menjangkau usia itu tidak mampu lagi mengingati banyak peristiwa lama.

Namun, detik-detik cemas berdepan pengganas komunis sering menerjah ingatan Muhammad Nordin. Peristiwa itu terpahat kukuh dalam mindanya setiap kali menyambut hari kemerdekaan negara.

“Peluru datang bersimpang siur. Apa yang saya ingat, lima melekat di tubuh dan berbelas-belas lagi mencalar serta mengoyakkan kulit badan saya. Masa itu, saya hanya fikir Allah, matilah aku lepas ini,” kata bekas Sarjan Batalion ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi hari Jumaat, 8 Mac 1979 itu menjadi kenangan sepanjang hidupnya. Ini kerana, satu daripada peluru tembakan itu masih kekal terbenam pada paha kirinya.

Dia yang mesra dipanggil Pak Din lebih rela membiarkan peluru itu daripada menjalani pembedahan yang berisiko untuk lumpuh.

Menceritakan kembali detik berdepan serangan komunis itu, Pak Din yang ketika itu berusia 39 tahun ditugaskan berkonvoi tiga buah kenderaan dari Pekan Kroh (kini Pengkalan Hulu, Perak) menuju ke sebuah markas tentera berhampiran sempadan Malaysia-Thailand antara Air Panas dengan Betong untuk menghantar bekalan makanan.

Jarak Pekan Kroh dengan lokasi kejadian dianggarkan lima kilometer.

Getir

Malangnya, di satu selekoh berhampiran satu kawasan tanaman getah di Batu 135 Jalan Kroh-Betong, kenderaan yang dinaiki Pak Din bersama empat lagi anggota telah diserang hendap oleh pengganas komunis dari arah sisi kenderaan.

Sewaktu itu, konvoi tiga kenderaan tersebut terpaksa melalui jalan sempit yang kanan dan kirinya adalah berlereng tinggi. Hanya kereta perisai yang dinaiki Pak Din telah memasuki kawasan pengganas manakala dua buah kenderaan lagi terselamat kerana berada kira-kira 100 meter ke belakang.

Bagaimanapun, sudah terlewat untuk memberi amaran kepada mereka yang lain.

“Saya lihat dua rakan saya di belakang terbujur kaku terkena tembakan di kepala dan badan manakala pemandu parah terkena tembakan pada perut serta paha. Seorang lagi cedera teruk. Kemudiannya, saya terdengar sayup mereka (pengganas) bersorak kemenangan,” katanya.

Walaupun rasa geram, dia menunggu sehingga pihak musuh kehabisan peluru sebelum bertindak melompat keluar dari kenderaan itu bagi menuntut bela.

“Bila senjata automatik musuh berhenti (mungkin kerana kehabisan peluru), saya terus melompat keluar dan berlindung di sebalik kereta untuk berbalas tembakan menggunakan senjata Colt M16. Masa itu, rakan saya yang cedera parah berlari ke arah saya untuk membantu tetapi saya arahkan dia meniarap dan cari perlindungan,” katanya.

Pak Din berkata, 15 minit waktu getir itu bagaikan suatu masa yang dirasakan terlalu lama.

“Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan pengganas komunis mahu berhenti menembak ke arah kenderaan kami. Apabila saya mula melepaskan tembakan, selang beberapa minit kemudian saya terdengar sayup-sayup satu perkataan chow chow chow menyuruh pengganas lain berundur.

“Waktu itu, saya juga terbayang wajah isteri yang sedang berpantang selepas melahirkan anak keempat di rumah emaknya,” kata Pak Din.

Tindakan nekad berbalas tembakan itu secara tidak langsung mengejutkan pengganas komunis dan memaksa mereka meninggalkan tempat kejadian.

Sebaik berasa yakin komunis masuk semula ke hutan, Pak Din yang mengalami kecederaan menggagahkan diri berjalan kira-kira 100 meter ke arah kereta perisai kedua untuk meminta bantuan. Kereta perisai kedua itu berhenti di belakang selepas mendengar tembakan.

Sebuah helikopter tiba selepas 45 minit daripada kejadian tembakan itu bagi menerbangkan Pak Din dan dua lagi yang cedera ke Hospital Pulau Pinang.

Dia terlantar beberapa hari di hospital bagi mengeluarkan peluru dan sehingga kini masih terdapat sebutir peluru terbenam pada pahanya.

“Saya meminta doktor mengeluarkan peluru ini tetapi mereka memberitahu mengenai risiko yang boleh mengakibatkan saya lumpuh kerana paha merupakan kawasan urat dan pembuluh darah,” katanya.

Menurutnya, sewaktu terlantar di hospital, dia meminta pegawai atasan agar tidak memberitahu isterinya, Fatimah Abd Rahman yang ketika itu berusia 36 tahun bagi mengelakkan kerisauan, namun bahagian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ipoh telah memberitahunya.

Terharu

“Isteri saya yang baru 10 hari berpantang sanggup datang bersama emaknya ke Pulau Pinang dengan menyewa teksi. Dia menangis apabila nampak saya. Saya terharu kerana dia dan keluarga sanggup datang dari jauh semata-mata mahu melawat saya,” kata bapa kepada lima orang anak itu.

Kejadian serangan komunis di Kroh itu mendapat liputan media dan terpampang di beberapa dada akhbar tempatan apabila bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh yang juga Pengarah Gerakan Negeri (MKN) melakukan lawatan ke daerah kecil itu sehari selepas kejadian tersebut.

Pak Din menyertai askar pada Oktober 1960 dan bersara pada Oktober 1984 sebagai Pegawai Waran II di Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Malaya (UM).

“Tidak lama lepas kejadian itu, saya bertugas sebagai jurulatih pegawai kadet Maktab Tentera Sungai Besi dan dua tahun sebelum pencen, saya menjadi Pegawai Kadet Palapes UM,” katanya yang kini mempunyai 10 cucu.

Dalam tempoh perkhidmatan selama 24 tahun, dia pernah ditugaskan ke Congo untuk menjalani misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Januari 1962 hingga April 1963.

Selepas pencen, beliau bersama isterinya berpindah ke Teluk Intan dan membina rumah di atas tanah milik keluarganya berhampiran Taman Padang Tembak, Perak. – Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz4IQRxloas Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment