Ad

Saturday, 13 August 2016

PELANCARAN LEMBAGA PERTUBUHAN PELADANG 13.8.1973

Pada hari ini 13.8.1973, Perdana Menteri Tun Abdul Razak bin Hussein telah merasmikan ucapacara pelancaran Lembaga Pertubuhan Peladang LPP. Upacara ini berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman dan dihadiri sama oleh Pengerusi LPP Y.M. Tengku Ahmad Rithauddeen, menteri-menteri dan dif-dif terhormat. Tujuan utama penubuhan Lembaga Pertubuhan Peladang ini ialah untuk menyelaraskan segala aktiviti-aktiviti badan-badan berkanun saperti LPN, FAMA, MARDI, RISDA, Bank Pertanian serta lain-lain jabatan kerajaan yang ada hubungannya secara langsung dengan kerajaan pertanian di negara ini, Selain dari itu, ianya juga bertujuan untuk menyatukan kegiatan syarikat-syarikat kerjasama dan peraturan-peraturan Peladang demi meninggikan taraf hidup kaum tani. Kemunculan Lembaga Pertubuhan Peladang timbul dari kesedaran kerajaan tentang perlu memodenkan sektor pertanian demi mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru, untuk menyusun semula masyarakat. Untuk tujuan ini kegiatan ekonomi yang menyeluruh di luar bandar perlu diperhebatkan supaya kemajuan desa dapat diseimbangkan dengan kerajaan bandar. Untuk melicinkan perlaksanaan projek-projek yang dirancang oleh LPP, bagi faedah kaum tani, ia telah menubuhkan Pusat Kemajuan Pertanian di tiap-tiap kawasan kemajuan peladang. Dengan berbuat demikian pembahagian perkhidmatan serta bantuan dari jabatan-jabatan kerajaan akan dapat disalurkan dengan lebih mudah dan sistematik. Kerajaan sesungguhnya berharap LPP yang dilancarkan penubuhannya pada hari ini dalam tahun1973 akan dapat memberi jaminan terhadap kemajuan kehidupan petani di masa-masa akan datang kerana pengembelingan tenaga yang terdapat dalam LPP dijangka akan dapat menyelaraskan segala peringkat kegiatan pertanian dari penghasilan hingga pemasaran dengan cara yang lebih berkesan.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

No comments:

Post a Comment