Ad

Monday, 8 August 2016

Bandar Hilir lokasi pelancongan sejarah


 
DULU. Kota A Famosa dibina Portugis selepas berjaya menawan Melaka pada tahun 1511.
 
KINI. A Famosa yang hanya tinggal pintu kota di kaki Bukit St Paul yang pernah dikenali sebagai Porta De Santiago (Pintu Santiago) di Jalan Parameswara, Bandar Hilir.
 
DULU. Jambatan Tan Kim Seng yang menghubungkan Bandar Hilir dengan Jonker Street sekitar tahun 1880-an.
 
KINI. Bangunan lama Stadhuys yang dijaga dan dipulihara PERZIM di Bandar Hilir.
 
DULU. Model pelan bangunan sekitar Bandar Hilir pada tahun 1940-an.
 
KINI. Pemandangan sekitar Bandar Hilir yang merangkumi Dataran Pahlawan, sekolah, Menara Taming Sari dan beberapa muzium.
 
DULU. Jonker Street pada zaman dahulu.
 
KINI. Jonker Street masih kekal dengan deretan kedai lama.
Nor Shafinaz Sari
rencana@hmetro.com.my


Melaka menyimpan pelbagai khazanah berharga negara. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, negeri ini masyhur kerana memiliki pelabuhan perdagangan rempah utama dunia hingga menarik perhatian kuasa asing termasuk Portugis, Belanda dan Inggeris untuk menguasainya.

Walaupun penjajah saling bertukar selepas menguasai Melaka, masih ada tinggalan mereka yang kekal dan dipulihara hingga kini.

Kerajaan negeri kini menjadikan Melaka sebagai pusat pelancongan terkenal dengan bangunan tinggalan Kesultanan Melayu Melaka dan penjajah terus dipulihara walaupun lokasi sekitarnya pesat membangun.

Antara lokasi paling banyak memiliki kesan sejarah ialah Bandar Hilir yang turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008.

Pembangunan di sekitar turut menjadikan Banda Hilir lokasi pelancongan sejarah bermula pada tahun 1984 apabila beberapa muzium menyimpan pelbagai khazanah berharga dibangunkan.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka Datuk Khamis Abas berkata, Banda Hilir kini sudah memiliki 15 muzium yang penubuhannya disokong kerajaan negeri dan persekutuan.

Lebih RM100 juta dibelanjakan bagi membina serta menaik taraf beberapa muzium sekitar Banda Hilir sejak 30 tahun lalu agar artifak yang tersimpan terus terpelihara.

“Sebelum 1984, Bandar Hilir kawasan pentadbiran Melaka yang menempatkan pejabat kerajaan dan bank utama di negara ini. Namun, kawasan pentadbiran itu kemudian dipindahkan ke lokasi baru dan diganti dengan beberapa muzium.

“Antaranya, Muzium Istana, Muzium Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Muzium Rakyat, Muzium Sejarah dan Muzium Umno,” katanya.

Industri pelancongan Melaka juga makin berkembang dan pengunjung ada banyak pilihan lokasi untuk dilawati tidak seperti sebelumnya yang hanya tertumpu di Bukit St Paul atau Dataran Bandar Hilir.

“Kami diamanahkan menjaga semua kawasan bersejarah ini dan tidak pernah mengubah reka bentuk asal bagi mengekalkan keasliannya, cuma melakukan naik taraf kemudahan bagi keselesaan pengunjung,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 2:25 PM

No comments:

Post a Comment