Ad

Wednesday, 3 August 2016

PENUBUHAN PUSAT LATIHAN KEBANGSAAN BERKENAAN PEMASARAN PERTANIAN

Galakan untuk mempelbagaikan hasil pertanian telah disarankan oleh kerajaan dengan tujuan supaya rakyat tidak terlampau bergantung kepada dua bentok ekonomi asas iaitu getah dan bijih timah sahaja.  Saranan ini pernah dibuat oleh Kerajaan ketika negara masih bergantung kepada 2 sumber ekonomi yang penting ini.  Ekonomi yang berasaskan pertanian pula sering menghadapi masalah cengkaman oleh orang-orang tengah untuk memasarkan hasil pertanian.  Para petani masih belum mengetahui sistem pemasaran pertanian yang menguntungkan.  Bagi mengatasi masalah ini pada hari ini 3 Ogos 1964 sebuah pusat Latihan Kebangsaan Berkenaan pemasaran telah dibuka dengan rasminya. Perasmian Pusat Latihan Kebangsaan Berkenaan Pemasaran Pertanian ini telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Syarikat Kerjasama Encik Mohd. Khir b. Johari di Maktab Kerjasama, Petaling Jaya.  Pusat Latihan ini adalah yang pertama berkenaan dengan pemasaran pertanian pernah diadakan di Malaysia.  Pembukaan Pusat Latihan ini mendapat kerjasama dari Pertubuhan Pertanian dan Makanan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO). Sebagai permulaan kursus pemasaran pertanian yang memakan masa 3 minggu akan dijalankan bersempena dengan perasmiananya.  Kursus-kursus berbentok syarahan dan latihan amal akan dikendalikan oleh pakar-pakar FAO yang diketuai oleh Encik F.A.Shah, pakar pemasaran FAO dari Bangkok.  Selain dari itu syarahan juga oleh pegawai Kementerian Pertanian, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan serta Universiti Malaya.  Sementara peserta-peserta pula terdiri dari pegawai Kementerian Pertanian, RIDA, FLDA, dan dari Singapura. Semasa berucap di majlis perasmian ini juga Encik Mohd. Khir memaklumkan bahawa Kerajaan sedang merancang untuk menubuhkan sebuah Lembaga Pemasaran Pertanian yang akan mempunyai kuasa untuk memulakan skim-skim pemasaran hasil-hasil pertanian.  Kajian dan laporan mengenai penubuhannya sedang disediakan oleh Jawatankuasa Khas.  Bantuan dan khidmat nasihat diperolehi daripada seorang penasihat Pemasaran Pertanian dari United Kingdom di bawah Rancangan Colombo. Lembaga yang dirangka ini kemudian telah diluluskan penubuhannya pada 1 Oktober 1965 dinamakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau lebih dikenali sebagai FAMA. Dengan tertubuhnya Pusat Latihan Kebangsaan Berkenaan Pemasaran Pertanian ini akan memberikan pendedahan mengenai pemasaran barang-barang pertanian dengan lebih meluas lagi tanpa mengharapkan orang tengah. Selain dari itu menolong para petani meningkatkan sumber pendapatan mereka.

No comments:

Post a Comment