Ad

Saturday, 6 August 2016

‘Memori Barcelona 92 terlalu indah’

05 Ogos 2016 12:10 AM
JALANI (kiri) dan Razif Sidek akhirnya menamatkan penantian 36
JALANI (kiri) dan Razif Sidek akhirnya menamatkan penantian 36 tahun Malaysia untuk memiliki pingat Sukan Olimpik.
“KALAU masa boleh diundur, saya pasti mahu beraksi lagi dalam Sukan Olimpik. Ia pengalaman terindah dalam hidup.”
Itu respons Datuk Seri Jalani Sidek ketika ditanya mengenai kenangan menyertai Temasya Barcelona 1992.
Jalani yang bergandingan dengan abangnya (Datuk Razif dalam acara badminton beregu lelaki mengakui, Barcelona 92 terlalu istimewa bukan sahaja kerana dia berjaya menghadiahkan pingat Olimpik pertama Malaysia tetapi menemukannya dengan ramai bintang dunia.
“Sudah tentu membawa pulang pingat memberi kami kegembiraan, tetapi sebenarnya kami tidaklah terlalu puas hati.
“Kami mengharapkan untuk mencatat keputusan lebih baik, sayangnya lawan kami di separuh akhir (Kim Moon Soo-Park Joo Bong) sangat hebat.
“Biarpun gangsa tak cukup memberi kepuasaan tetapi Olimpik sendiri menghadirkan satu perasaan luar biasa,” kata Jalani.
Mengimbas persiapannya menjelang temasya Barcelona, Jalani mengakui, memandangkan badminton hanya membuat penampilan sulung dalam Olimpik, dia dan Razif sebenarnya tidak melakukan persiapan cukup rapi.
Ini disebabkan temasya itu berlangsung terlalu dekat dengan Piala Thomas, kejohanan yang lebih menjadi tumpuan Malaysia.
“Saya pada mulanya risau, boleh ke kami bermain baik sebab kami sudah mencapai kemuncak ketika membantu Malaysia merampas Piala Thomas di Kuala Lumpur.
“Bukan saya kata persiapan kami tak bagus, tetapi kerana semuanya telah dikerah untuk Piala Thomas, ia tidak maksimum.
“Namun, sebaik sahaja kaki ini melangkah ke perkampungan sukan Olimpik, perasaan sangat luar biasa, semangatnya berbeza.
“Saya jumpa ramai bintang dunia daripada olahraga, tenis dan banyak lagi di sana... saya sedar... ini (Olimpik) adalah pentas tertinggi. Ia lebih istimewa daripada Piala Thomas atau Kejohanan Dunia.
“Kebetulan, dewan latihan badminton terletak bersebelahan trek olahraga, hari-hari saya lihat Carl Lewis berlatih, ada Linford Christie juga...mereka ini bermusuhan, jadi kami boleh tengok keduanya saling mengelak daripada bertembung.
“Di dewan makan, kami sentiasa menanti kehadiran pasukan ‘dream team’ (bola keranjang Amerika Syarikat) , kami sudah hafal jadual makan mereka,” ceritanya lagi.
Kata Jalani lagi, Olimpik meninggalkan kesan besar buatnya dan dia berharap setiap atlet akan menjadikan temasya itu sebagai sasaran utama mereka.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/8216-memori-barcelona-92-terlalu-indah-8217-1.366494#sthash.2WYzImpB.dpuf

No comments:

Post a Comment