Ad

Wednesday, 10 August 2016

FELDA ceriakan penyokong sendiri


 
FORKEY Doe (kanan) mengasak pemain MU Syawal Norsam.
Raja Norain Hidayah
sukan@hmetro.com.my
Maran: FELDA United beraksi cemerlang di laman sendiri apabila membenam Melaka United (MU) 2-1 pada aksi Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi.

Francis Forkey Doe dan Zahrahan Krangar yang menerajui jentera serangan The Fighters, kerap kali menembusi benteng pertahanan MU sejak awal permainan.

Usaha mereka berhasil apabila Forkey Doe menjaringkan gol pertama pada minit ke-9 dan rembatannya gagal diselamatkan penjaga gol MU Ahmad Solehin Mamat.

Bagaimanapun, pelawat berjaya menyamakan kedudukan hasil serangan balas pantas selang seminit selepas itu melalui Norshamil Abd Ghani yang menewaskan penjaga gol FELDA United Mohd Farizal Harun.

Perlawanan bertambah rancak selepas kedudukan terikat 1-1 dan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

MU sekali lagi mencemaskan The Fighters apabila Yashir Armando Pinto Islame melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-15, namun ia sekadar menggegar palang.

Forkey Doe sekali lagi muncul wira apabila menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-17 melalui tandukan selepas mendapat umpanan cantik daripada Krangar.

Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Sebaik separuh masa kedua bermula, pelawat menggandakan asakan ke kubu The Fighters yang diterajui Mohd Shukor Adan namun tidak membuahkan hasil.

Peluang terbaik MU hadir pada minit ke-65 namun sekali lagi hampa apabila rembatan pemain gantian Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman hanya mengenai palang.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 8:54 AM

No comments:

Post a Comment