RAJA terakhir memerintah sebagai wakil kepada Sultan Selangor di Lukut adalah Raja Bot atau nama sebenarnya Raja Muhammad Saleh, anak kepada Raja Jumaat yang dilahirkan di Lukut pada Disember 1847.
Ketika pemerintahan Raja Jumaat, kestabilan politik dan ekonomi di Kota Lukut adalah sangat baik, malah beliau bijak menjalinkan hubungan dengan Melaka yang ketika itu diperintah oleh Belanda.
Namun, kewibawaan kepimpinannya tidak diwarisi. Kejatuhan Kota Lukut bermula apabila pewarisnya, Raja Bot mengambil alih wilayah itu dan berhadapan dengan pelbagai masalah seperti tuntutan kawasan oleh Sungei Ujong.
Selain itu, aktiviti perlombongan mula berkurangan apabila kadar pengeluaran bijih timah semakin merosot. Di tambah pula dengan masalah pergaduhan antara kaum dan pertelingkahan pemimpin dalaman.
Justeru, Lukut akhirnya diserahkan kepada Sungei Ujong (Negeri Sembilan) dalam satu perjanjian yang ditandatangani di Singapura.
Dalam catatan di Muzium Lukut, Raja Bot dikatakan mengambil alih pemerintahan pada 1865. Kemudian beliau dilantik menjadi Penghulu Sungai Buloh pada 1887.
Ketua Muzium Lukut, Peterson Augustine menimbulkan persoalan kehilangan istana di Kota Lukut berdasarkan jarak masa sekarang dengan pemerintahan Raja Bot.
Beliau berkata, sehingga hari ini, pihak muzium masih tertanya-tanya ke mana hilangnya istana Kota Lukut, sedangkan jarak masa dengan sekarang tidak sampai beratus tahun.
“Mengikut kajian, Kota Lukut ditemui berdasarkan struktur binaan di atas bukit Gajah Mati yang dibina seperti sebuah kubu perang.
“Saya pun buntu memikirkan jarak masanya tidak terlalu lama, tetapi yang dijumpai dalam eskavasi pada 1940 hanyalah tapak tiang dan serpihan seperti peralatan dalam rumah.
“Memang pelik, sedangkan bangunan yang lebih lama dibina Belanda dan British masih wujud hingga ke hari ini, tetapi istana Kota Lukut ghaib!” ujarnya.
-SUMBER: http://www.utusan.com.my/rencana/misteri-kehilangan-istana-1.375183#sthash.QMU5Yars.dpuf
No comments:
Post a Comment