Ad

Friday 26 August 2016

PERASMIAN MASJID NEGARA

Pada hari ini 27.8.1965, Masjid Negara telah dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed  Putra Al-Haj Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail. Hasrat untuk mendirikan sebuah masjid yang besar bagi negara ini telah dilahirkan seawal negara mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957. Ini kerana pembinaan masjid itu sebagai suatu tanda dan kenang-kenangan bagi Kemerdekaan Tanah Melayu. Rekabentuk masjid itu merupakan ilham daripada arkiteknya iaitu Encik Baharuddin bin Mohd.  Manakala kos pembinaannya pula adalah hasil kutipan derma yang berjumlah $1.7 juta. Dari segi kedudukannya pula, ia terletak dikawasan seluas 13.5 ekar dan di dalamnya termasuklah Dewan Sembahyang seluas 22,500 kaki persegi yang boleh memuatkan kira-kira 8,000 orang jemaah. Pada mulanya cadangan nama masjid itu ialah "Masjid Tunku Abdul Rahman", akan tetapi dengan kehendak Tunku sendiri masjid tersebut telah diberi nama "Masjid Negara". Turut hadir di upacara bersejarah itu ialah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja, T.Y.T. Gabenor-Gabenor, Perdana Menteri (Tunku Abdul Rahman), Timbalan Perdana Menteri (Tun Abdul Razak), dan Sultan Brunei Y.M.M. Al-Sultan Sir Omar Ali Saifuddin. Sesungguhnya pembukaan rasmi Masjid Negara pada hari ini dalam tahun 1965, diharap Masjid Negara yang merupakan masjid yang terbesar akan menjadi pusat penyelidikan dan perkembangan Agama Islam di negara ini.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

No comments:

Post a Comment